PERLAWANAN minggu ke-20 pada Isnin bakal menyaksikan berlangsungnya dua perlawanan membabitkan empat pasukan Liga Super 2023.
Paling mencuri tumpuan pastinya pertembungan derbi Pantai Timur antara Kelantan FC menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan.
Skuad The Red Warrior (TRW) pastinya masih segar dengan kejayaan memperoleh kemenangan 2-0 ketika menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di gelanggang sendiri pada 9 Ogos lalu.
Ia merupakan kemenangan pertama pasukan tersebut semenjak dikendalikan jurulatih baharunya, Alfredo Vera dan ia membolehkan Kelantan FC melonjak satu anak tangga ke kedudukan ke-13 liga.
Justeru, kelebihan beraksi di gelanggang sendiri pastinya memberikan motivasi tambahan buat barisan pemain TRW ketika menentang seteru Pantai Timur, Terengganu FC.
Sementara itu, satu lagi perlawanan pula menyaksikan NSFC akan menerima kunjungan Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi, Negeri Sembilan.
Berikut merupakan ramalan daripada dua wartawan sukan Majoriti iaitu Zikry Marzuki, dan Frezella Amil bagi kedua-dua aksi terbabit:
1. Kelantan FC vs Terengganu FC
Ivan Mamut ketika aksi Liga Super 2023. — Facebook/TerengganuFC
Zikry — Terengganu FC dijangka terus momentum kemenangan
Meskipun masih belum mencapai rentak terbaik, namun TFC dijangka terus mencatatkan kemenangan mudah 3-0 ke atas Kelantan FC.
Ini kerana TRW ketika ini dilihat tidak mempunyai faktor kejutan tambahan terutamanya dari segi kualiti pemain yang boleh membantu mereka mencipta kejutan.
Kemenangan pada minggu lalu juga boleh dikatakan agak bernasib baik kerana Kelantan FC sedang berdepan dengan NSFC yang ketika ini bergelut dengan prestasi semasa.
Tiga pemain yang dijangkakan menjaringkan gol pada perlawanan ini ialah Ivan Mamut, Sonny Norde dan Nurillo Tukhtasinov.
Frezella — Kelantan mampu cipta kejutan
Saya berpandangan Kelantan FC mempunyai peluang untuk mencipta kejutan selepas melihat kepada aksi yang ditampilkan ketika menentang NSFC dalam perlawanan terakhir liga.
Tambahan pula, Terengganu FC dilihat masih bergelut untuk mendapatkan prestasi terbaik meskipun sudah memasuki pusingan kedua liga termasuk ketika menentang pasukan yang berada di kedudukan lebih bawah daripada mereka.
Ia menerusi tiga keputusan seri menentang NSFC dengan jaringan 1-1 dan PDRM FC (0-0) dan Kuala Lumpur (KL) City FC (3-3).
Oleh itu, dengan mengambil kira kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri, saya menjangkakan Kelantan FC boleh membuat kejutan menewaskan skuad Sang Penyu 2-1 .
2. NSFC vs Selangor FC
Ayron (kanan) dijangka meledak pada perlawanan menentang NSFC. — Facebook/SelangorFC
Zikry — Gandingan tiga tonggak hadapan Selangor sukar dikekang
Selangor dilihat mampu membawa pulang tiga mata penuh dengan kemenangan selesa 3-0. Ini kerana Gergasi Merah ketika ini dilihat mempunyai gandingan mantap di barisan hadapan terdiri daripada Richmond Boakye, Ayron Del Valle dan Mukhairi Ajmal.
Sementara itu, moral NSFC pula dilihat berada di tahap agak rendah selepas tewas di tangan pasukan tercorot, Kelantan FC liga pada minggu lalu.
Pada masa sama, dua import baharunya iaitu penyerang Youssef Ezzejjari dan pemain sayap, Hein Htet Aung masih gagal memberikan pengaruh positif terhadap prestasi pasukannya.
Frezella — Ayron bakal meledak
Saya tidak melihat Selangor akan berhadapan masalah untuk mencatatkan kemenangan selesa dalam perlawanan ini dengan mengambil keadaan NSFC yang bergelut untuk menampilkan prestasi terbaik..
Pada masa sama, Ayron turut dijangka menggunakan kesempatan untuk meledak jaringan selepas dua perlawanan tanpa gol untuk mengejar status sebagai penjaring terbanyak liga.
Saya menjangkakan Selangor FC bakal mencatatkan kemenangan 3-0 pada aksi kali ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram