‘Leader dalam dan luar padang’, Piya dan bintang import Liga M antara bagi mesej padu kat YB Baddrol


  • Politik
  • Ahad, 13 Ogos 2023

Baddrol Bakhtiar berjaya membuat 'debut' pertamanya dalam bidang politik sebagai ADUN Gurun. — Instagram/bakhtiarbaddrol.

PILIHAN Raya Negeri (PRN) pada Sabtu berjalan lancar di kebanyakan tempat pengundian membabitkan enam negeri.

Bagi keputusan rasmi PRN Kedah bagi DUN Gurun menyaksikan pemain bola yang menceburi bidang politik, Baddrol Bakhtiar mencipta sejarah apabila disahkan memenangi kerusi DUN Gurun selepas meraih 17,771 undi.

Kutipan tersebut menyaksikan calon berusia 35 tahun itu menewaskan pencabar wakil daripada Pakatan Harapan (PH), Mohammed Firdaus Johari (11,187) dengan majoriti 6,584 undi.

Baddrol yang mewakili PAS di bawah payung Perikatan Nasional (PN) itu berhasil merampas kerusi daripada penyandangnya, Datuk Johari Abdul yang meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun kerana menerima tawaran sebagai Speaker Dewan Rakyat.

Kemenangan itu menjadikan keputusan bekas ketua pasukan Kedah dan Sabah FC itu untuk meninggalkan dunia bola sepak dan menceburi dunia politik adalah satu perjuangan yang tidak sia-sia.

WhatsApp Image 2023-08-13 at 12.10.03

Tangkap layar hantaran tersebut. — Instagram/bakhtiarbaddrol.

Baddrol turut berkongsi ucapan terima kasih dalam hantaran di laman Instagram miliknya, @bakhtiarbaddrol.

"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan dan dorongan dari seluruh warga Gurun atas kepercayaan kepada saya untuk berkhidmat di Gurun ini.

"Sekalung penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada seluruh jentera PAS, Bersatu dan Gerakan yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dari awal sehingga ke akhirnya. Yang pasti, perjuangan ini bukanlah pengakhirnya.

"Dengan ini, secara tidak langsungnya bermulalah amanah dan khidmat bakti saya selaku ADUN Gurun.

"Mohon doa semua, Insya-ALLAH dengan segala kudrat yang ada, akan saya lakukan yang terbaik. Mandat ini untuk rakyat.

"Gurun berjaya ditawan," katanya dalam hantaran di Instagram.

Meninjau di ruangan komen Instagram, rata-rata pengundi turut mengucapkan tahniah di atas kemenangannya itu termasuk beberapa pemain bola sepak Liga Malaysia (Liga-M).

"Tahniah YB. Takbir," kata @captain_piya16 iaitu bekas kapten Kelantan, Mohd Badri Mohd Radzi atau Piya.

"Tahniah YB!! Selamat berkhidmat brother," kata @shahromkalam atau bekas bek kental kebangsaan, Shahrom Kalam.

Tidak mahu ketinggalan, pemain import Liga-M turut memberikan ucapan tahniah kepada bekas tonggak Harimau Malaya itu.

"Congratulations YB. Leader on and off the pitch," kata pemain import Pahang FC @kpah7 (Kpah Sherman) yang merupakan penyerang kelahiran Liberia.

"Congratulations YB," kata @tchethce_kipre_official_23 (Kipre Tchetche) yang merupakan tonggak Kuala Lumpur City FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram