[VIDEO] Tiga pemain digantung tiba-tiba, Bojan Hodak label peraturan di Indonesia ibarat sarkas


  • Podium
  • Isnin, 14 Ogos 2023

Bojan Hodak diberikan tugasan berat untuk membawa kejayaan buat skuad Pangeran Biru. — Agensi

KEPUTUSAN kelab Liga 1 Indonesia, Persib Bandung untuk melantik Bojan Hodak sebagai ketua jurulatih baharu mereka dilihat masih belum membuahkan hasil seperti mana diharapkan.

Dia yang diberikan jawatan berkenaan pada 28 Julai lalu hanya mencatatkan satu kemenangan dalam empat perlawanan yang dikendalikannya setakat ini.

Prestasi kurang memberangsangkan itu menyebabkan skuad Pangeran Biru berada di tangga ke-16 Liga 1 Indonesia selepas lapan kali beraksi musim ini.

Bagaimanapun, untuk pertembungan liga selepas ini, pasukan kendalian Bojan Hodak berdepan cabaran lebih besar apabila mereka terpaksa beraksi tanpa tiga tonggak utama.

366721211_827341692093931_384347160164764831_n

Kehadiran Bojan Hodak masih gagal untuk mengubah nasib Persib Bandung musim ini. — Facebook/Persib Bandung

Ia susulan tindakan penggantungan yang diambil Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) terhadap Marc Klok, Putu Gede dan Ciro Alves.

Denda itu diberikan kerana kesemua mereka difahamkan berkelakuan tidak sopan terhadap penyokong Persis Solo ketika mereka berentap 8 Ogos lalu.

Penggantungan berkenaan jelas memberikan tekanan terhadap Bojan Hodak dan pihak kejurulatihannya yang berasakan persiapan dilakukan pasukannya untuk aksi Liga 1 Indonesia selepas ini seakan-akan satu kerugian.

"Secara tiba-tiba sahaja, ada pemain kami yang menjalani hukuman penggantungan tanpa diberitahu dengan lebih awal. Situasi ini saya boleh anggap ibarat sarkas.

Marc Klok membaling sebotol air mineral ke arah penyokong Persis Solo sementara Ciro Alves menunjukkan isyarat lucah.

"Saya tak tahu siapa yang membuat keputusan berkenaan. Seolah-olah anda bermain PlayStation. Boleh masukkan dan keluarkan pemain begitu sahaja," katanya.

Untuk rekod, Ciro Alves dan Marc Klok dikenakan penggantungan dua perlawanan dan didenda sehingga jutuan rupiah sementara Putu Gede tidak dapat diturunkan sehingga empat perlawanan.

Bojan Hodak sememangnya cukup dikenali dengan komen dan kritikan terbuka sepanjang bergelar jurulatih, lebih-lebih lagi ketika tahun-tahun perkhidmatannya di Liga Super.

Persib Bandung dijadualkan untuk bertemu PSIS Semarang di Stadium Jatidiri, Jawa Tengah, Indonesia pada 20 Ogos dengan kemenangan mampu meletakkan mereka di kedudukan kelapan Liga 1 Indonesia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram