BARU-BARU ini, muncul satu khabar angin mengatakan seorang jurulatih import Liga Super hidup dalam keadaan buangan selepas digugurkan pasukannya.
Berdasarkan ura-ura yang dikongsikan di media sosial, pengendali berkenaan difahamkan sedang menunggu pembayaran tiket penerbangan pulang ke negaranya.
Situasi itu memaksanya untuk tinggal di sebuah stor yang tidak didedahkan lokasinya dalam usaha untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan.
Teka-teki mengenai identiti jurulatih berkenaan akhirnya terjawab apabila media mendapati bahawa bekas pengendali Kelantan FC, Frank Bernhardt merupakan individu yang dimaksudkan.
Dia yang digugurkan daripada jawatan berkenaan pada Jun difahamkan sedang mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan kelab Pantai Timur berkenaan.
Berdasarkan pendedahan yang dibuatnya Sabtu lalu, jurulatih kelahiran Jerman itu menafikan bahawa adanya dakwaan Kelantan FC tidak membayar gajinya.
Namun, menurutnya, masih terdapat pertikaian mengenai penyelesaian pembayaran tiket untuk pulang ke Eropah yang mana memaksanya untuk hidup sebatang kara ketika ini.
Pendedahan yang dibuat ejen kepada Bernhardt menerusi satu hantaran di Instastory miliknya.
Perkara itu turut disahkan seorang ejen yang berpangkalan di Timur Tengah, Sherif Ahmed Mostafa atau lebih dikenali dengan nama gelaran Shekoo dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.
"Untuk pengetahun, coach Frank sudah menerima pembayaran penuh bulan lalu daripada Kelantan FC dan semuanya baik-baik sahaja dengannya.
"Dia juga sedang diberikan penjagaan sebaik mungkin sehingga dia mampu pulang ke rumah. Apa yang sedang berlaku semuanya hanyalah satu khabar angin," tulisnya.
Hal tersebut didedahkannya menerusi satu hantaran di Instastory miliknya yang sempat ditangkap layar penyokong sebelum ia hilang daripada tatapan umum.
Sebelum ini, terdapat juga perkhabaran yang mengatakan Bernhardt sudah menerima satu tawaran daripada pasukan Timur Tengah seperti Iraq dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Shekoo sememangnya seorang ejen yang cukup terkenal dalam kalangan peminat setia skuad The Red Warriors (TRW) apabila dia bertanggungjawab membawa masuk beberapa pemain import baharu ketika jendela perpindahan yang lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram