MESKIPUN ketinggalan dengan satu gol memasuki minit ke-80 permainan, kesungguhan yang dipamerkan pemain Sabah FC ketika berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC pada Ahad membolehkan mereka mencatatkan kemenangan.
Selepas berada di hadapan pada minit ke-52 hasil jaringan Stuart Wilkin, skuad Sang Badak berdepan detik cemas apabila pihak pelawat memiliki kelebihan menerusi Romel Morales dan Haqimi Azim Rosli.
Bagaimanapun, semangat berkobar-kobar yang dipamerkan tuan rumah akhirnya mengembalikan kelebihan buat mereka dengan gol daripada Park Tae-su dan Gabriel Peres.
Kemenangan itu membolehkan Sabah FC memintas Sri Pahang FC dalam carta Liga Super ke tangga keempat dengan pasukan Borneo tersebut sudah mengumpul 39 mata daripada 21 perlawanan.
Keputusan terbabit pastinya cukup menggembirakan ribuan penyokong yang hadir ke Stadium Likas, Sabah dengan ia sedikit sebanyak mengubati kekalahan memalukan kepada Johor Darul Takzim (JDT) minggu lalu.
Gol pada minit ke-89 memastikan tiga mata milik skuad Sang Badak. — Facebook/Sabah FC
Berbangga dengan kesungguhan yang dipamerkan anak-anak buahnya, ketua jurulatih skuad Sang Badak, Datuk Ong Kim Swee memahami ia bukanlah sesuatu perkara mudah dengan tahap kecergasan memainkan peranan penting musim ini.
"Kita menunjukkan semangat juang yang tinggi. Kita tahu pasukan Kuala Lumpur bukan satu pasukan yang mudah untuk kita tewaskan, namun selepas ketinggalan, kita meneruskan asakan demi asakan.
"Daripada segi permainan, ada beberapa kekurangan. Tetapi, kita harus faham yang para pemain bermain sebanyak tiga perlawanan dalam masa seminggu, jadi sudah tentu mereka berasa keletihan," katanya kepada Astro Arena.
Sebelum ini, Kim Swee pernah menjelaskan bahawa beberapa tonggak Sabah FC berdepan isu keletihan apabila mereka turut beraksi dalam jadual padat di peringkat kelab dan kebangsaan.
Bagaimanapun, jurulatih berusia 52 tahun itu memahami situasi pasukan berkenaan yang tidak dapat membawa masuk pemain dengan terlalu kerap melihat kepada struktur kewangan kelab.
Nenad mahu skuad Warga Kota bangkit untuk aksi Piala Malaysia berdepan Penang FC. — Facebook/Kuala Lumpur City
Sementara itu, pengendali KL City FC, Nenad Bacina mahu anak-anak buahnya supaya kembali fokus dengan segera apabila mereka bakal beraksi dalam Piala Malaysia selepas ini.
"Daripada perlawanan pertama tempoh hari, kami membawa kelebihan 4-0, tetapi ia masih belum berakhir. Kami akan cuba untuk melakukan penggiliran dan sudah tentu, kami akan memberi tumpuan untuk aksi berdepan Penang FC," katanya.
Empat gol yang dijaringkan skuad Warga Kota dalam aksi pembukaan Piala Malaysia di tempat lawan sebelum ini memberikan satu kelegaan buat pasukan Lembah Klang itu.
Di samping dapat memberikan peluang kepada pemain yang jarang mendapatkan minit permainan, ia juga membuka peluang buat KL City FC untuk mara ke peringkat seterusnya.
Finalis Piala FA 2023 itu bakal berdepan skuad Harimau Kumbang di Stadium Cheras, KL pada Jumaat sementara Sabah FC akan menerima kunjungan Kuching City FC di laman sendiri pada Sabtu untuk aksi Piala Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram