Graduan akademi JDT dilabel punca skuad Seladang menangis di SSI


  • Podium
  • Isnin, 14 Ogos 2023

Skuad TBG sekali lagi mencatatkan kekalahan 0-5 ketika bertemu JDT dalam aksi Liga Super musim ini. — Facebook/Perak FC

RENTAK kebangkitan yang sedang direncanakan Perak FC dalam Liga Super ini menemui titik noktah apabila mereka tewas kepada pendahulu, Johor Darul Takzim (JDT).

Beraksi di tempat lawan pada Ahad, skuad The Bos Gaurus (TBG) ketinggalan pada minit ke-21 permainan hasil percubaan deras penyerang import, Heberty Fernandes.

Tuan rumah kemudiannya memastikan mereka mempunyai kelebihan tiga gol sebelum separuh masa pertama berakhir dengan jaringan daripada Matt Davies dan Bergson da Silva.

Percubaan pasukan pelawat untuk merapatkan jurang bagaimanapun tidak kesampaian apabila JDT mudah mendapatkan gol keempat dan kelima perlawanan menerusi Oscar Arribas dan Juan Muniz.

Keputusan berkenaan pastinya amat pahit untuk ditelan penyokong Perak FC meskipun mereka mengetahui wujudnya jurang besar antara kualiti kedua-dua pasukan.

Tetapi, kekalahan 0-5 semestinya sukar diterima memandangkan mereka berasakan benteng pertahanan skuad TBG terlalu goyah setiap kali berdepan JDT musim ini.

Melihat kepada kesemua pemain yang diturunkan Yusri Che Lah sebagai ketua jurulatih, kesalahan atas keputusan mengecewakan itu lebih banyak diletakkan di bahu penjaga gol, T Shaheeswaran.

366918534_303840008863048_8179271752025996015_n

Sikap kurang yakin menyebabkan Shaheeswaran dikritik penyokong skuad TBG. Facebook/Perak FC

Selepas diberikan peluang untuk beraksi dalam 11 perlawanan Liga Super 2023, pemain berusia 23 tahun itu dilihat terlalu goyah ketika berdepan jentera serangan JDT ketika pertembungan berkenaan.

Selain dikatakan gopoh dalam membuat keputusan, penjaga gawang terbabit seperti gagal untuk membaca gerakan pihak lawan sepanjang 90 minit permainan.

Persembahan kurang meyakinkan itu menyebabkan sebahagian besar penyokong skuad TBG membuat kritikan terbuka terhadap graduan akademi JDT itu.

"Betul juga, dua kesilapan awal yang tidak sepatutnya membuatkan moral rakan sepasukan terkesan. Jika tidak ada kesilapan, mungkin hanya ketinggalan 0-1 sahaja," kata Hafiz Beger Zainudin.

"(JDT) hanya layak perolehi tiga gol sahaja. Dua gol lagi berpunca daripada kesilapan yang sepatutnya tidak berlaku, perlu lebih perhatian," kata Harish Zali.

"Untuk perlawanan yang akan datang, cuba berikan peluang untuk penjaga gol yang lain pula," kata Khairuddinhjotman Othman.

Shaheeswaran sebelum ini tiba dengan status pinjaman dari Negeri Sembilan FC dengan peranan untuk mengurangkan beban yang ditanggung seorang lagi penjaga gol, Bryan See.

Namun, selepas menampilkan beberapa persembahan memberangsangkan, pemain dengan ketinggian 1.81 meter itu diberikan peranan untuk berada dalam kesebelasan utama dengan lebih kerap.

Selepas ini, Perak FC bakal berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC di tempat lawan untuk aksi timbal balik Piala Malaysia dengan kelebihan dua gol dimiliki mereka selepas menang 3-1 dalam pertemuan pertama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram