TONGGAK tengah Sabah FC, Gary Steven Robbat akui dua kekalahan menentang Kuala Lumpur (KL) City FC pada musim ini tidak boleh berulang lagi.
Pemain berusia 31 tahun itu berhasrat untuk mengetuai pasukannya dalam misi membalas dendam ke atas skuad Warga Kota menjelang perlawanan menentang KL City dalam Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad.
Musim ini skuad Warga Kota menjadi antara musuh yang sukar ditumbangkan The Rhinos apabila tewas 0-2 kepada KL City dalam Liga Super pada 5 April dan 1-2 dalam saingan Piala FA pada 28 Mei.
Gary yang sebelum ini beraksi di Johor Darul Takzim (JDT) II dan bergelar sebagai tonggak Sang Badak pada musim 2022 itu bertekad mahu menamatkan badi kekalahan di tangan Warga Kota serta mengembalikan senyuman di wajah peminat Sabah.
Musim ini, Gary sudah tampil dalam sembilan aksi Liga Super bersama Sabah. — Facebook/SabahFC
“Kami telah tewas kepada mereka dua kali tahun ini dan perkara itu masih bermain di dalam fikiran kami. Jadi, kami mahu memastikan kami mendapat kemenangan di hadapan peminat kami.
“Tetapi kami tahu Kuala Lumpur bukan pasukan yang mudah untuk ditewaskan. Mereka teratur dengan cara mereka bermain dan pantas dengan gerakan serangan mereka.
“Mereka mempunyai pemain tengah yang rajin seperti Kenny (Pallraj), Seb (Sebastian Avanzini) dan Zhafri (Yahya) yang boleh meletihkan lawan.
“Kami berada dalam pertempuran tetapi kami bersedia untuk menghadapi mereka," katanya.
Bekas pemain kebangsaan itu turut menambah bahawa pemain bermotivasi untuk bangkit selepas kekalahan teruk mereka 1-5 kepada Johor Darul Takzim (JDT) di Likas pada Rabu lepas.
“Kami tahu apa yang salah sehingga menyebabkan kekalahan itu. Banyak persiapan telah dilakukan sekarang untuk perlawanan menentang Kuala Lumpur kerana kami mahu kembali ke landasan kemenangan kami,” tambahnya.
Sabah kini di tangga kelima Liga Super dengan 36 mata, manakala Kuala Lumpur di tempat ketujuh dengan 28 mata. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram