JOHOR Darul Takzim (JDT) sememangnya dikenali sebagai sebuah pasukan yang serba lengkap dari semua aspek sama ada dari segi fasiliti bertaraf kelab luar negara mahupun dalam melahirkan beberapa bakat muda.
Jika diamati, ramai pemain berkualiti Liga Malaysia (Liga M) ini pernah memilih Harimau Selatan sebagai platform untuk mengembangkan karier mereka di awal pembabitan dalam dunia bola sepak domestik.
Mendapat tawaran lain ataupun gagal mendapat tempat di kem Harimau Selatan antara punca sebahagian pemain memilih untuk menyertai kelab lain walaupun juara bertahan Liga Super itu menawarkan lebih banyak kelebihan.
Diam-diam musim ini juga menyaksikan beberapa pemain tumpuan Liga Super dari kelab lain yang pernah menimba ilmu bersama juara Piala FA 2023 itu di awal permulaan karier mereka sebelum menempa nama bersama pasukan baharu.
Berikut tiga pemain musim ini pernah berguru dengan Harimau Selatan sebelum popular;
1) Dominic Tan
Dominic ketika menyarung jersi JDT II. — Facebook/JDT
Sejak menyertai Sabah FC pada musim 2022, bek tengah Sabah FC, Dominic Tan semakin menjadi tumpuan sehingga namanya tidak pernah tercicir daripada terpilih untuk menyarung jersi kebangsaan di bawah kendalian Kim Pan-gon.
Selepas membantu Sabah menamatkan saingan Liga Super di kedudukan ketiga dan menempah slot ke pusingan Piala AFC pada musim lalu, pemain berusia 26 tahun itu masih menjadi pilihan utama Datuk Ong Kim Swee apabila diberi kepercayaan untuk tampil dalam 19 aksi Liga Super 2023.
Kualiti yang ada pada pemain yang mesra dengan sapaan Dom ini juga pada awalnya sudah dikenalpasti oleh Harimau Selatan pada musim 2016 apabila dia membuat penampilan sebanyak 27 kali bersama pasukan JDT II dalam saingan Liga Perdana tahun tersebut.
Dalam tempoh empat tahun bersam JDT, Dominic juga dipinjamkan ke kelab Portugal iaitu Vilaverdense FC pada 2018 dan sempat melakukan penampilan pertama dengan skuad JDT pada musim 2017.
2) Sam Somerville
Sam pernah menjaga gawang JDT II pada musim 2016 hingga 2019. — Facebook/JDT
Selepas beberapa perlawanan baru-baru ini, penjaga gol Selangor FC, Sam Somerville semakin menunjukkan bahawa dirinya layak untuk mendapat peluang daripada Tan Cheng Hoe sebagai penjaga gawang utama Gergasi Merah.
Musim ini, penjaga gol warisan Malaysia-England itu diberikan kesempatan untuk beraksi dalam lapan perlawanan dan merekodkan empat clean sheets untuk pasukan berpangkalan di Lembah Klang itu.
Sam yang datang dari Penang FC pada musim 2022 itu sebenarnya pernah menjadi sebahagian daripada keluarga Harimau Selatan pada musim 2016 hingga 2019 dengan diberi kepercayaan untuk menjaga gawang JDT II.
Beraksi bersama JDT II sepanjang empat musim, bekas pemain Tooting & Mitcham United itu pernah menjulang Challenge Cup 2019 bersama skuad simpanan Harimau Selatan.
3) Hadi Fayyadh
Hadi Fayyadh antara pemain tumpuan JDT II sebelum ini. — Facebook/JDT
Selepas berkelana di Jepun selama tiga musim, bekas penyerang skuad Harimau Muda, Hadi Fayyadh Abdul Razak akhirnya kembali ke tanah air dengan menyertai Perak FC dengan ikatan kontrak selama dua musim.
Namun tidak sampai tujuh bulan beraksi, pemain kelahiran Perak itu dipinjamkan ke PDRM FC bagi membantu menguatkan jentera serangan skaud The Cops pada baki saingan liga musim ini.
Sebelum memutuskan untuk ke Jepun pada 2019, bekas pemain skaud bawah 19 tahun itu pernah menimba ilmu dan pengalaman sebagai pemain Harimau Selatan selama tiga musim sejak 2017 dengan berkhidmat sebagai penyerang JDT II.
Pemain berusia 23 tahun itu juga pernah diberikan peluang untuk beraksi bersama skuad utama JDT pada musim 2017 dengan hanya mengumpul sebanyak 23 minit permainan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram