JOHOR Darul Takzim (JDT) sekali lagi berkenduri gol di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di Iskandar Puteri, Johor apabila menewaskan pasukan tercorot, Perak FC dengan kemenangan besar 5-0 dalam aksi Liga Super pada Ahad.
Bermain di hadapan ribuan penyokong di laman sendiri, kemenangan itu mengukuhkan Harimau Selatan di persada liga dengan mengumpul 60 mata daripada 20 perlawanan dan meninggalkan pencabar terdekat iaitu Selangor FC di tempat kedua dengan 43 mata.
Kemenangan itu juga memasti skuad Harimau Selatan hanya memerlukan tiga mata lagi untuk mengesahkan kejuaraan Liga Super kali ke-10 berturut-turut.
Dalam perlawanan itu, kuad kendalian Yusri Che Lah tidak dapat bertahan dengan baik pada awal permainan apabila pasukan tuan rumah berhasil membuka jaringan awal pada minit ke-21 menerusi ledakan kaki kiri penyerang import Heberty Fernandes.
Babak pertama perlawanan terus dimeriahkan dengan jaringan gol daripada anak-anak buah Esteban Solari daripada tandukan cantik bek kanan, Matthew Davies pada minit ke-27 dan penyerang sensasi, Bergson menjaringkan gol ketiga buat JDT.
Bersambung pada separuh masa kedua, penjaga gol Perak FC sekali lagi diuji dengan serangan daripada pemain JDT apabila mencetak dua jaringan gol hasil tendangan Oscar Arribas daripada hantaran jauh Jordi Amat.
Bergson menyumbang satu jaringan pada perlawanan berkenaan. — Facebook/PerakFC
Harimau Selatan mengesahkan kemenangan ke atas The Bos Gaurus (TBG) menerusi sepakan percuma daripada Juan Muniz yang meluru ke penjuru di sebelah kanan Perak pada minit ke- 66.
Meskipun kalah besar di tangan Harimau Selatan, namun rata-rata penyokong skuad Seladang memberi respons positif terhadap percaturan Yusri pada pertemuan di Iskandar Puteri tersebut.
Bukan apa, majoriti penyokong optimis bahawa pengendali Perak itu menyediakan perlawanan yang menarik bagi aksi timbal balik berjumpa Kedah Darul Aman (KDA) FC bagi saingan Piala Malaysia pada Jumaat ini.
"Sabah yang baru kena belasah dengan JDT, malam ini (Ahad) menang dengan KL City. Santai sahaja kita fokus lawan Kedah, jadikan malam ini untuk naikkan lagi keyakinan pemain untuk perlawanan seterusnya," kata penyokong TBG, Saharuddin Yusof.
"Memang nak simpan senjata jumpa Kedah tapi Perak kena ambil pengajaran dengan baiki penjaga gol. Bila lawan pasukan kuat macam ini, susah nak peka," tambah penyokong TBG, Aiman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram