KEKALAHAN mengecewakan 0-5 dialami Perak FC dalam aksi Liga Super berdepan pendahulu, Johor Darul Takzim (JDT) di tempat lawan pada Ahad.
Meskipun memahami bahawa mereka bukanlah pasukan pilihan untuk pertembungan terbabit, penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG) pastinya amat kecewa dengan persembahan yang dipamerkan.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan kelab Utara tanah air tersebut kekal di tangga ke-11 Liga Super dengan hanya enam perlawanan berbaki untuk Liga Super 2023.
Bagaimanapun, tumpuan pastinya lebih diberikan kepada aksi yang bakal dihadapi mereka di Stadium Darul Aman, Kedah untuk pertembungan timbal balik Piala Malaysia.
Selepas memperoleh kemenangan penting di tempat sendiri pada 3 Ogos lalu, Perak FC perlu memastikan Kedah Darul Aman (KDA) FC tidak memanfaatkan kelebihan dimiliki mereka.
Cabaran besar menanti Yusri untuk memastikan skuad TBG mara ke suku akhir Piala Malaysia. — Facebook/Perak FC
Di samping berpeluang beraksi di hadapan ribuan penyokong, skuad Sang Kenari juga pastinya lebih bersedia memandangkan mereka hanya bermain sekali sejak perlawanan Piala Malaysia yang lalu.
Masa yang dimiliki itu digunakan untuk memastikan pemain berada dalam tahap kecergasan yang terbaik di samping membolehkan tonggak pasukan sembuh daripada kecederaan.
Tidak cukup dengan itu, KDA FC pastinya lebih bersedia untuk aksi timbal balik berkenaan dengan ketua jurulatih, Nafuzi Zain pastinya lebih bersungguh-sungguh untuk memahami taktikal yang bakal digunakan Perak FC.
Jadi, untuk memastikan skuad TBG berpeluang untuk mara ke peringkat seterusnya, Yusri Che Lah pastinya perlu mengenal pasti ancaman daripada pemain lawan.
Melihat kepada skuad Sang Kenari ketika ini, Majoriti melihat terdapat tiga pemain KDA FC yang perlu diawasi Perak FC dalam aksi timbal balik pada Jumaat.
1. Amirbek Juraboev
Kemasukan Moses Atede ketika jendela perpindahan yang lalu menyaksikan pemain tengah import, Amirbek Juraboev kehilangan tempatnya dalam kesebelasan utama.
Dia yang menjadi nadi utama skuad Sang Kenari sejak awal musim perlu memberi laluan dengan Nafuzi melihat kehadiran Moses memberikan kestabilan buat KDA FC.
Bagaimanapun, ia tidak menghalang Amirbek untuk beraksi bersungguh-sungguh setiap kali diberikan minit permainan meskipun sebagai pemain gantian.
Ketika diturunkan dari bangku simpanan ketika aksi antara skuad Sang Kenari dengan Perak FC dalam Liga Super 7 Jun lalu, pemain berusia 27 tahun itu beraksi dengan cukup baik.
Amirbek (kiri) beraksi dengan cukup baik setiap kali diturunkan. — Facebook/KDA FC
Dua gol yang dijaringkannya merupakan bukti bahawa dia mempunyai kebolehan untuk memperoleh jaringan peribadi meskipun beraksi sebagai seorang pemain tengah bertahan.
Kemampuannya untuk berlegar di atas padang tanpa menghiraukan isu stamina memberikan Nafuzi satu dimensi baharu, lebih-lebih lagi pada minit-minit akhir perlawanan.
Jadi, terdapat kemungkinan bahawa Amirbek akan kembali diletakkan dalam kesebelasan utama untuk aksi timbal balik di laman sendiri dengan KDA FC memerlukan sekurang-kurangnya dua gol untuk mara ke peringkat suku akhir.
Perak FC perlu memberikan tumpuan terhadap pemain kebangsaan Tajikistan itu sekiranya dia beraksi dengan gandingan antara Azalinullah Alias dan Luciano Guaycochea mampu memikul tanggungjawab tersebut.
2. Ifedayo Olusegun
Sejak tiba untuk menggantikan Willian Lira pada jendela perpindahan yang lalu, Ifedayo tidak menunggu lama untuk meneruskan kecemerlangannya dalam Liga Malaysia.
Dalam empat penampilannya dalam Liga Super, penyerang kelahiran Nigeria itu mudah mencipta nama dengan menjaringkan lima gol setakat ini.
Statistik berkenaan sudah cukup untuk menjelaskan bahawa pemain berusia 32 tahun tersebut perlu diberikan perhatian penuh daripada benteng pertahanan skuad TBG.
Meskipun jarang terlibat dalam tugasan membuka peluang, Ifedayo mempunyai pengalaman serta kebijaksanaan untuk menghukum kelekaan pasukan lawan.
Ifedayo mempunyai reputasi cukup baik untuk menyudahkan setiap peluang di hadapan pintu gol. — Facebook/KDA FC
Selain mempunyai ketajaman di hadapan pintu gol, pemenang dua Anugerah Kasut Emas Liga Super itu turut mahir menjaringkan gol menerusi tandukan.
Jadi, untuk memastikan Ifedayo tidak dapat membolosi kubu pertahanan Perak FC, Yusri perlu mencari pendekatan terbaik sama ada menghalang bola daripada tiba di kakinya atau mengawasi gerak-gerinya.
Tugasan tersebut boleh diberikan kepada bek tengah, Jesper Nyholm yang semakin menempa namanya dalam kalangan penyokong skuad TBG sejak hadir baru-baru ini.
Selain itu, tanggungjawab berkenaan juga boleh diberikan kepada Sunday Afolabi yang turut bijak setiap kali diturunkan sebagai pertahanan.
3. Manuel Ott
Sejak awal musim, pemain tengah KDA FC, Manuel Ott boleh dianggap sebagai duri dalam daging buat skuad TBG setiap kali mereka bertemu.
Contohnya, ketika aksi Liga Super Februari lalu, jeneral tengah berkenaan memberikan satu persembahan terbaik apabila meraih tiga bantuan jaringan di tempat lawan.
Selain itu, dalam pertembungan Piala Malaysia sebelum ini pula, Manuel Ott sekali lagi menjadi watak utama buat kelab Utara tanah air tersebut apabila menjaringkan gol awal permainan.
Meskipun Perak FC memperoleh kemenangan, ia sedikit sebanyak membuktikan bahawa pemain kebangsaan Filipina itu sepatutnya diawasi sepanjang keberadaannya di atas padang.
Kebolehan Manuel Ott untuk melakukan hantaran berkualiti perlu diberi perhatian. — Facebook/KDA FC
Kebolehannya untuk mencari rakan sepasukan menerusi hantaran merupakan salah satu aset terbesar Manuel Ott sejak tiba di KDA FC awal musim lalu.
Selain itu, kebolehannya untuk beraksi dengan peranan menyerang mahupun bertahan juga perlu diberikan perhatian sekiranya Perak FC tidak mahu kehilangan penguasaan di bahagian tengah.
Jadi, untuk memastikan sumbangan pemain berusia 31 tahun itu tidak membantutkan kemaraan skuad TBG, Luciano sekali lagi perlu diberikan tugasan terbabit.
Tetapi, sekiranya Yusri tidak mahu tahap kecergasan kaptennya itu terjejas pada separuh masa pertama, kemasukan Firdaus Saiyadi turut boleh meringankan beban dengan pemain berkenaan turut dikenali dengan kesungguhannya di atas padang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram