PASUKAN gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) dilihat tidak menunggu lama untuk mencari pengganti tonggak utama, Leandro Velazquez yang kini mengalami kecederaan jangka panjang.
Malah, pengganti Leandro bukanlah calang-calang orangnya kerana Takahiro Kunimoto yang berasal daripada Jepun sememangnya sangat dikenali sebagai arkitek tengah yang sangat dikenali dalam Liga Jepun dan juga luar negara.
Keputusan itu dipercayai dibuat oleh pihak pengurusan skuad Harimau Selatan bagi memastikan kelab berkenaan sentiasa berada dalam prestasinya terbaik meskipun sekadar memerlukan enam mata untuk mengekalkan gelaran Liga Super.
Untuk rekod, sebelum berhijrah ke JDT, Kunimoto yang berusia 25 tahun itu pernah beraksi bersama kelab Portugal, Casa Pia sebelum ini.
Pada masa sama, pemain berketinggian 1.72 meter (m) itu juga boleh bermain dalam pelbagai posisi yang berbeza iaitu sayap kanan dan kiri selain menggalas tugas sebagai penyerang.
Musim ini, Leandro menjaringkan lima gol dan melakukan tujuh bantuan gol dalam saingan Liga Super buat JDT. — Facebook/JDT
Selain itu, pemain lincah itu terkenal dengan kualiti sepakan dia yang cukup tepat ketika bersama pasukan Jeonbuk Hyundai pada tahun lalu.
Namun di sebalik kehebatannya itu, mampukah dia menunjukkan prestasi yang sama seperti seorang lagi bintang baharu JDT, Heberty Fernandes?
Hal ini kerana, Heberty pun berjaya membuat debut impian di Liga Super 2023 apabila menjaringkan gol pembukaan dalam membantu menewaskan Selangor FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 30 Julai lalu.
Bagi pemain yang lebih dikenali sebagai Kunimoto dalam kalangan penyokong JDT, mereka mengharapkan pemain tersebut dapat memberikan kejutan pada perlawanan aksi Liga Super JDT menentang Perak FC pada Ahad.
Heberty cemerlang bersama skuad Harimau Selatan pada ketika ini. — Facebook/JDT
Seorang penyokong, Ariel Riz berharap agar Kunimoto dapat mengekalkan konsistensi kehebatannya bermain bersama kelab kesayangannya itu.
"Harap prestasi dia di kelab lama masih konsisten dengan pemain JDT yang semua pemain handalan. Harap cepat serasi dengan pemain lain, semoga maju jaya Takahiro Kunimoto," tulisnya.
Sementara itu, Hrv Miky pula berharap agar Kunimoto cepat serasi dengan pemain JDT yang lain bagi memantapkan lagi pasukan tersebut.
"Semoga ada keserasian bersama pemain-pemain yang lain seperti Heberty yang baru diserap masuk dalam kesebelasan utama pasukan.
"Kemasukan Kunimoto akan menambah lagi kekuatan jentera bahagian tengah JDT untuk lebih berfungsi bagi membantu jentera serangan dengan hantaran masuk ke dalam kawasan penalti," tulisnya.
Bagi Alex Fzail pula, dia mengharapkan pemain tersebut sehebat Leandro.
"Aku tak minta banyak, cukuplah dia sehebat dan sekuat Leandro yang selama ni boleh dikatakan tunjang utama JDT. Semoga dia boleh bawa perubahan besar dan mampu menjaringkan gol.
"Anggap sahaja Perak FC itu pasukan untuk berlatih dalam Liga Malaysia sebelum JDT berjumpa dengan pasukan yang lebih kuat," katanya.
Untuk rekod, skuad kendalian ketua jurulatih Estaban Solari kini selesa menerajui Liga Super dengan 57 mata, 14 mata di depan Selangor di tempat kedua ketika aksi saingan liga cuma berbaki enam perlawanan.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram