Seladang makin bernafsu besar, harap muncul yang pertama calar ego Harimau Selatan


  • Podium
  • Ahad, 13 Ogos 2023

Sebahagian sesi latihan pasukan Perak menjelang aksi Liga Super menentang Harimau Selatan pada Ahad. — Instagram/perakfcofficial_

PERAK FC berada dalam momentum yang baik ketika ini selepas meraih dua kemenangan dalam Liga Malaysia (Liga-M) iaitu ketika menentang Kedah Darul Aman FC (pusingan ke-16 Piala Malaysia) dan Penang FC (perlawanan Liga Super) dengan mencatatkan keputusan sama 3-1.

Jidak hairanlah, skuad The Bos Gaurus (TBG) makin bernafsu besar untuk melakar kejutan ke atas pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) pada Ajad.

Skuad kendalian Yusri Che Lah itu masih mahu memberi cabaran kepada pasukan Harimau Selatan walaupun di atas kertas kemenangan dijangka berpihak kepada JDT.

Melihat kepada prestasi semasa pasukan JDT, sudah pasti mereka masih mahu merekodkan kemenangan ke-20 berturut-turut dalam saingan Liga Super.

Sebelum ini, JDT menewaskan Sabah FC dengan keputusan 5-1 di Stadium Likas, Sabah sekali gus mencatatkan rekod yang baik apabila merekodkan 74 gol, hanya dibolosi sebanyak empat kali dan meraih 57 mata.

Oleh itu, JDT mempunyai peluang yang cerah untuk merangkul kejuaraan Liga Super ke-10 berturut-turut jika membawa pulang tiga mata pada Ahad.

Bagaimanapun, Ketua Jurulatih Perak, Yusri Che Lah berkata, dia akan realistik tentang peluang mereka menentang JDT tetapi dia tidak berputus asa.

Pengendali Perak itu mahu anak-anak buahnya mengekalkan persembahan yang membolehkan mereka menang 3-1 ke atas Kedah FC dan Penang FC sebelum ini.

“Kami kena realistik. Kami mempunyai masa yang singkat menjelang perlawanan itu. Saya harap mereka menggunakan peluang dengan sebaik mungkin.

“Walaupun belum ada pasukan yang menewaskan mereka tetapi saya tidak 'kibarkan bendera putih'. Saya hanya berharap agar barisan pemain Perak akan mencuba yang terbaik," katanya.

Perak kini berada di tangga ke-11 liga, mengumpul 16 mata daripada 19 perlawanan dan mempunyai kelebihan lapan mata dari zon penyingkiran, yang merupakan petanda baik tetapi Yusri berharap untuk memperbaiki kedudukan liga.

“Saya tahu kita boleh melakukan yang lebih baik. Kami mahu mengelak dari zon penyingkiran dan mereka semua telah bekerja keras memastikan matlamat ini direalisasikan.

“Kami mempunyai tujuh lagi perlawanan. Dua di Ipoh, dan lima lagi perlawanan di tempat lawan. Saya perlu melihat pemulihan pemain dan kecederaan serta penggantungan. Tetapi saya mahu pemain untuk meneruskan momentum semasa," ujarnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram