SABAH FC gagal meraih kemenangan di laman sendiri selepas juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) menang mudah dengan keputusan 5-1 di Stadium Likas, Sabah pada Khamis.
Dalam perlawanan tersebut, Sang Badak memulakan aksi babak pertama dengan garang dan berjaya membuka tirai jaringan menerusi sepakan kencang Muhammad Jafri Chew pada minit ke-13 menewaskan penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi.
Kegembiraan The Rhinos berakhir duka selepas pelawat memulakan serangan bertubi-tubi dan dikejutkan dengan gol penyamaan menerusi jaringan Juan Muniz pada minit ke-17.
Import baharu Harimau Selatan, Heberty Fernandes mencetak jaringan ketiga meletakkan JDT di kedudukan yang selesa pada babak pertama.
Tidak lama selepas itu, Sabah FC terus ketinggalan jauh apabila penyerang berbisa JDT, Bergson da Silva menjaringkan hatrik bagi membantu pasukan JDT terus berada di landasan kemenangan.
Sekitar sesi latihan pemain Sabah FC. — Instagram/officialsabahfc
Susulan kemenangan tersebut, Sabah FC perlu bangkit mendapatkan momentum untuk meraih tiga mata penuh semasa menentang Kuala Lumpur (KL) City FC pada Ahad.
Melihat perlawanan sebelum ini, The Rhinos ditewaskan oleh KL City FC dengan keputusan 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada April lalu.
Dalam pada itu, untuk mengelak kekalahan kedua berulang kembali, Sabah FC perlu lebih berhati-hati dengan corak permainan yang bakal ditampilkan oleh The City Boys kerana dijangka penuh dengan kejutan.
Untuk rekod, skuad Warga Kota juga pernah memberi kejutan apabila menewaskan Sabah di laman sendiri, Stadium Likas dalam pusingan suku akhir saingan Piala FA 2023 dengan keputusan 2-1.
Oleh itu, rata-rata penyokong Sang Badak memberikan pendapat agar pasukan yang berpangkalan di Borneo itu tidak tergesa-gesa untuk mendapatkan jaringan.
Ini kerana, Sabah FC dianggap sering melakukan kesilapan setelah menjaringkan gol pendahuluan apabila menggunakan corak bertahan yang akhirnya memakan diri.
"Sabah FC jangan dulu gear 5, masa kedua pancit macam tidak melawan sudah semalam longlai, KL City FC tidak juga berapa kuat, 50/50 sama Sabah tapi susah juga mahu kasih kalah. Semoga hari Ahad ni Sabah berjaya mengutip mata penuh," kata Hassan Kas Haji Lamit.
"KL City FC ni liat macam bedal ayam juga mahu kasih tewas, kadang-kadang Sabah ni sudah mendahului tapi tiba-tiba pihak lawan boleh ikat seri dan menang tipis sama Sabah. Hati-hati saja lah, jangan ulang kesilapan lalu," kata Krule Annaz.
"Harap Sabah dapat belajar sesuatu dan perbaiki kelemahan. Sabah harus bangkit semula seperti cara team Liverpool bermain dalam liga," kata Ah Chai Vu.
Untuk perlawanan seterusnya, Sabah akan melayan kunjungan KL City FC untuk melengkapkan pusingan ke-20 Liga Super 2023 yang akan berlangsung di Stadium Likas pada Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram