![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2023/08/14/2229963.jpeg)
KEPUTUSAN bekas tonggak Kedah FA dan Sabah FC, Baddrol Bakhtiar untuk menceburi bidang politik ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah baru-baru ini membuahkan hasil seperti mana diharapkannya.
Dia yang bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) di kerusi DUN Gurun berdepan cabaran besar apabila berdepan calon Pakatan Harapan-Barisan Nasional (BN), Firdaus Johari.
Bagaimanapun, 17,771 undi yang diraihnya membolehkan Baddrol melakar kemenangan dalam percubaan pertamanya dalam bidang politik dengan majoriti 6,584 undi.
Meskipun dia sebelum ini dikritik apabila meninggalkan dunia bola sepak secara drastik, imejnya yang berkaliber sepanjang bergiat aktif dalam sukan berkenaan menyebabkan pengundi di Gurun memilihnya sebagai wakil rakyat.
Baddrol sememangnya cukup dikenali dengan sikap kepimpinan ketika berada di atas padang. — Facebook/Sabah FC
Di samping bergelar sebagai salah seorang pemain bola sepak berkualiti, Baddrol juga mempunyai karisma untuk bergelar seorang kapten di atas padang.
Selain di peringkat kelab, ahli politik berusia 35 tahun itu turut diberikan peranan untuk menjadi kapten ketika bersama skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara.
Antara momen yang sukar dilupakan sepanjang memikul tanggungjawab tersebut adalah apabila dia mengingatkan rakan-rakannya supaya tidak termakan dengan provokasi yang dibuat pihak lawan.
Nasihat itu diberikan sebelum kempen Sukan Asia di Bandung, Indonesia pada 14 Ogos 2018, iaitu beberapa hari selepas berlakunya perbalahan ketika aksi pemanas badan antara skuad B-23 negara dan pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Baddrol menawan kerusi DUN Gurun selepas menewaskan pencabarnya, Firdaus Johari.
Pergaduhan tersebut tercetus berikutan terdapatnya kekasaran yang dibuat pemain lawan terhadap Adib Zainudin sehingga menghangatkan situasi di Stadium Shah Alam, Selangor.
Menyedari akan kejadian berkenaan, Baddrol tampil mengingatkan supaya pasukannya lebih fokus supaya tidak terkesan dengan provokasi yang dibuat pihak lawan.
Pesanan itu sedikit sebanyak membantu skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk menampilkan persembahan terbaik ketika Sukan Asia 2018 dengan menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga teratas.
Bagaimanapun, prestasi cemerlang itu gagal diteruskan apabila pasukan B-23 negara tewas di tangan Jepun di peringkat 16 pasukan terbaik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram