BEKAS Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bakal kembali bergiat aktif dalam dunia politik negara selepas menang mudah ketika bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang.
Dia yang bertanding di bawah tiket Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) untuk DUN Bertam meraih 10,453 undi.
Keputusan tersebut sekali gus menyaksikannya menewaskan pencabar mewakili Perikatan Nasional (PN), Khaliq Mehtab yang juga merupakan penyandang kerusi tersebut dengan majoriti 2,321 undi.
Sebelum ini, ahli politik berusia 51 tahun itu tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila dia gagal mempertahankan kerusi Kepala Batas kepada calon PAS, Siti Mastura Mohamad.
Berdasarkan maklumat di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 23,999 pengundi berdaftar di DUN Bertam untuk pilihan raya kali ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram