Bukan Bernhardt seorang, 3 bekas jurulatih Liga Malaysia masih 'berperang' dengan kelab lama


  • Podium
  • Sabtu, 12 Ogos 2023

Tempoh perkhidmatan Bernhardt bersama skuad TRW tidak membawa sebarang perubahan terhadap nasib kelab itu. — Facebook/TRW Kelantan FC

BERITA mengejutkan diterima penyokong bola sepak negara pada Jumaat apabila dilaporkan seorang bekas jurulatih pasukan Liga Super hidup dalam keadaan menyedihkan.

Pengendali itu difahamkan sebagai seorang yang diimport memandangkan individu berkenaan sedang dalam perbincangan untuk mendapatkan wang tiket untuk kembali ke negara asalnya.

Menurut laporan, jurulatih tersebut tidak mahu dikenali dan diuar-uarkan mengenai khabarnya itu kerana dikhuatiri akan mengganggu proses rundingan.

Bagaimanapun, melihat kepada situasi terkini, orang ramai mengatakan bekas pengendali Kelantan FC, Frank Bernhardt sebagai individu yang dimaksudkan.

Selepas dilantik sebagai Pengarah Teknikal kelab pada Mac lalu, dia diberikan peluang untuk membimbing skuad The Red Warriors (TRW) selepas jurulatih kelahiran Korea Selatan, Choi Moon-sik meninggalkan jawatan itu.

2082459

Tempoh perkhidmatan Bernhardt bersama skuad TRW tidak berpanjangan. Facebook/TRW Kelantan FC

Tetapi, meskipun mempunyai pengalaman dalam liga tempatan bersama UiTM FC, Bernhardt gagal memberi nafas baharu buat kelab Pantai Timur itu apabila tewas dalam kesemua perlawanan.

Dia kemudiannya digantikan dengan seorang lagi jurulatih import, Alfredo Vera yang sedikit sebanyak mengubah keadaan buat juara treble domestik 2012 itu.

Namun, kedatangannya itu sekali gus menyaksikan situasi Bernhardt tidak lagi menarik perhatian media sebelum berita mengenai nasibnya tersebut tersebar di bibir penyokong.

Selain mendesak agar pihak pengurusan Kelantan FC mencari solusi segera, mereka turut bersimpati akan nasib individu itu dengan mengaitkan keadaannya dengan pengendali-pengendali lain.

Melihat kepada sejarah bola sepak negara beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat tiga jurulatih Liga Super yang seperti masih berpatah arang dengan pasukan masing-masing.

1. Choi Moon-sik (Kelantan FC)

Seperti diceritakan di atas tadi, Moon-sik merupakan antara pengendali skuad TRW musim ini yang diimport dari Korea Selatan untuk membimbing pasukan itu.

Meskipun tidak mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan, pihak pengurusan memberinya peluang melihat kepada kariernya bersama gergasi Asia itu.

Bagaimanapun, peluang itu tidak digunakan sebaik mungkin apabila Kelantan FC hanya mengumpul empat mata sepanjang enam perlawanan di bawah kendaliannya.

2010809

Moon-sik merupakan antara jurulatih import yang cukup lantang.Facebook/TRW Kelantan FC

Prestasi itu mengakibatkan pemilik kelab, Norizam Tukiman menggugurkan khidmatnya pada April bagi memberi laluan buat Bernhardt dan barisan kejurulatihan baharu.

Namun, episod antara Moon-sik dan skuad TRW tidak berakhir di situ apabila dia dan ejennya terus mendedahkan situasi buruk di sebalik pasukan itu.

Selain mendesak agar tunggakan gaji diselesaikan secepat mungkin, mereka turut membuat pampasan yang mengarahkan agar Kelantan FC membayar kos tiket penerbangan.

Kemelut tersebut tidak terhenti di situ apabila difahamkan Moon-sik mengheret perkara itu ke FIFA, sekali gus mencalarkan reputasi kelab berkenaan di peringkat global.

2. B Sathianathan (Sarawak United)

Pemergian jurulatih berpengalaman, mendiang B Sathianathan pada 17 Julai lalu memberikan satu berita cukup menyayat hati buat peminat bola sepak negara.

Selepas bertarung dengan kanser untuk beberapa tahun, pengendali kelahiran Negeri Sembilan berkenaan menghembuskan nafas terakhirnya di samping keluarga.

Berita itu menyebabkan penyokong tidak henti-henti mengutuskan mesej terhadap keluarga mendiang bagi memperingati sumbangan bermaknanya sepanjang tempoh penglibatannya.

Namun, di sebalik kiriman kata-kata menyentuh hati itu, terdapat juga dalam kalangan mereka yang sempat mendesak agar kelab terakhir mendiang, Sarawak United untuk menyelesaikan tunggakan gaji dihadapinya.

2184099

Sathianathan tidak pernah berputus asa daripada memperjuangkan haknya. Agensi

Umum mengetahui bahawa kelab Borneo itu pernah berdepan isu pengurusan yang kritikal dengan isu tersebut turut berulang pada tahun lalu.

Selain pemain, staf kejurulatihan dan kakitangan pasukan, termasuk Sathianathan turut berdepan masalah itu dengan laporan menyebut kebajikan mereka tidak terjaga.

Bagaimanapun, tempoh perkhidmatan antara bekas jurulatih skuad kebangsaan itu dengan Sarawak United tidak berpanjangan apabila dia terpaksa melepaskan jawatan akibat isu kesihatan.

Tetapi, situasi itu tidak menyekat mendiang daripada terus menuntut bayaran gaji apabila dia sering mendedahkan hal berkenaan kepada media.

Namun, dengan perjuangan Sathianathan tersebut tidak dapat lagi diteruskan olehnya sendiri, adakah Sarawak United akan cuba untuk menyelesaikan tunggakan itu?

3. Datuk Lim Teong Kim (Perak FC)

Keputusan Perak FC untuk menyambar khidmat jurulatih sensasi, Datuk Lim Teong Kim pada awal musim lalu mencetuskan kejutan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Manakan tidak, bekas pemain kebangsaan itu mempunyai pengalaman cukup berharga dalam bidang tersebut apabila pernah menimba ilmu bersama skuad belia sebuah kelab gergasi Eropah, Bayern Munich.

Bagaimanapun, pendedahan berharga berkenaan tidak dapat mencetuskan sebarang keistimewaan buat skuad The Bos Gaurus (TBG) sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Dalam 13 perlawanan yang dikendalikannya, kelab Utara tanah air itu hanya mengumpul sembilan mata dalam Liga Super hasil dua kemenangan dan tiga keputusan seri.

1851180

Teong Kim gagal membawa nafas baharu buat skuad TBG sepanjang tempoh perkhidmatannya. Facebook/Perak FC

Prestasi tidak menentu itu mendesak pihak pengurusan untuk menamatkan perkhidmatannya untuk memberi laluan buat Yusri Che Lah dengan kontrak sehingga penghujung musim.

Tetapi, hal berkenaan tidak menamatkan kemelut antara Teong Kim dan Perak FC apabila laporan media tempatan mengatakan terdapat tuntutan berterusan dibuat jurulatih itu.

Menurut perkongsian baru-baru ini, usaha tersebut dibuat jurulatih kelahiran Melaka itu dalam usahanya mendapatkan baki pembayaran gaji berdasarkan kontraknya sebelum ini.

Sebelum ini, satu sesi rundingan dibuat kedua-dua pihak dengan usaha mencari titik persefahaman, namun ia masih tidak membuahkan sebarang hasil diharapkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram