MUNGKIN agak jarang untuk seorang pemain bola sepak profesional mempunyai pendidikan tinggi yang mana mereka melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan pada sama meneruskan kerjaya dalam sukan tersebut.
Seperti diketahui, seorang pemain bola sepak hanya memerlukan kemahiran semula jadi dan berada pada kecergasan di tahap terbaik untuk menarik minat seorang jurulatih ataupun pencari bakat sesebuah pasukan.
Namun hakikatnya, dalam kalangan majoriti tersebut, ada beberapa pemain juga memiliki segulung ijazah ataupun kelayakan akademik walaupun secara jelasnya sudah mempunyai masa depan cerah bersama karier bola sepak.
Dalam saingan Liga Super musim ini turut menyaksikan beberapa pemain yang menjadi ayam tambatan untuk pasukan namun dalam masa sama membahagi masa untuk mengejar segulung ijazah dalam bidang akademik.
Berikut tiga pemain Liga Super musim 2023 yang bukan hanya lincah pamer aksi di atas padang, malah geliga di dewan peperiksaan.
1) Harith Akif (Kelantan FC)
Harith Akif bergambar ketika majlis graduasi di UiTM. — Instagram/Harith Akif.
Penyerang muda Kelantan FC, Harith Akif Shahar semakin menarik tumpuan penyokong bola sepak tanah air selepas banyak mempamerkan bakatnya dalam saingan pusingan kedua liga ini.
Sebelum ini, pemain yang mempunyai tiga gol peribadi bersama skuad The Red Warriors (TRW) Piala MFL itu diberikan peluang untuk berada dalam kesebelasan utama buat pertama kali dalam Liga Super sepanjang kariernya setakat ini.
Sudah diturunkan dalam enam perlawanan Liga Super dan satu dalam saingan Piala Malaysia, penyerang berusia 22 tahun itu sudah mencetak dua jaringan gol buat Kelantan FC, selain menjadi pilihan untuk kesebelasan utama.
Berpendidikan menengah di Victoria Institutions Kuala Lumpur dari tingkatan satu hingga lima, Harith Akif juga difahamkan baru sahaja memperoleh Diploma Pengajian Sukan dan kini sedang menimba ilmu dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
2) Bryan See Tian Keat (Perak FC)
Bryan See mempunyai Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam. — Facebook/SabahFC
Penjaga gol berpengalaman Perak FC, Bryan See Tian Keat antara tonggak The Bos Gaurus pada awal musim ini dan pemain berusia 30 tahun itu selalu mempamerkan aksi yang agak memberangsangkan.
Walaupun kini, T. Shaheeswaran kini lebih banyak mendapat peluang dari pengendali skuad The Bos Gaurus (TBG), Yusri Che Lah namun kepakarannya pasti akan ditagih lagi pada perlawanan lain.
Selain tangkas dalam menjaga gawang, pemain dari Subang Jaya, Selangor itu merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di Johns Hopkins University (JHU), Amerika Syarikat.
Perjuangan Bryan See dalam pelajaran tidak terhenti di situ sahaja walaupun sudah bergelar pemain profesional apabila beliau kini menyambung pengajian jarak jauh dalam Ijazah Sarjana (Masters) Kejuruteraan Awam di JHU.
3) Saddil Ramdani (Sabah FC)
Saddil merupakan graduan di dalam pendidikan di IKIP Budi Utomo. — Agensi
Penyerang sayap lincah Sabah FC, Saddil Ramdani merupakan antara pemain utama Sabah FC sejak menyertai skuad Sang Badak pada musim 2021 daripada pasukan Indonesia, Bhayangkara.
Musim ini, Saddil masih berada pada prestasi terbaiknya dengan mencetak enam jaringan gol dan tujuh hantaran bantuan dalam 13 aksi Liga Super pemain berusia 24 tahun itu diturunkan.
Dalam kesibukannya membahagikan masa sebagai pemain bola sepak profesional, Saddil juga meluangkan masa untuk menghabiskan pembelajarannya dan kini sah bergelar graduan di dalam bidang pendidikan di Institut Keguruan & Ilmu Pendidikan (IKIP) Budi Utomo atau Ibu Malang, Jawa Timur pada September 2022.
Mulai melibatkan diri di dalam pengajian di dalam program Pendidikan Jasmani Kesehatan dan Rekreasi (PJKR) sejak 2018, pemain skuad Garuda itu adalah salah seorang atlet kebangsaan Indonesia yang memperoleh prestasi cemerlang di institusi tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram