KELANTAN FC kini dalam proses untuk kembali bangkit selepas sentuhan pengendali Angel Alfredo Vera menampakkan perubahan corak permainan yang ketara dalam lima perlawanan terakhir.
Pada Rabu, Kelantan FC berjaya menamatkan kemarau kemenangan sejak April lalu selepas mudah menundukkan Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan dua jaringan gol menerusi pemain import, Leonardo Rolon.
Dengan kemenangan itu, ia menjadi motivasi terbaik buat anak-anak buah Alfredo Vera untuk melayani kunjungan Terengganu FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada 14 Ogos nanti.
Namun apa dilihat menarik ialah percaturan Alfredo Vera yang berani mempertaruhkan kudrat pemain-pemain muda untuk meraih kemenangan itu.
Meskipun dihimpit dengan pelbagai kontroversi, The Red Warriors (TRW) dilihat tiada masalah untuk menurunkan pemain-pemain muda yang mampu bersaing dalam Liga Super.
Rakesh berada dalam kesebelasan utama TRW ketika menewaskan NSFC pada Rabu. — Instagram/TRW Kelantan FC
Salah seorang pemain yang menjadi tumpuan penyokong TRW ialah Rakesh Munusamy yang beraksi di posisi pertahanan pasukan Kelantan FC.
Dalam lima perlawanan, Rakesh sudah pun menghasilkan satu assist untuk TRW yang mana ia sesuatu pencapaian yang baik untuk pemain muda sedang meningkat naik.
Malah Rakesh juga antara pemain yang tersenarai dalam skuad Piala AFF Bawah 23 tahun (B-23) di samping beberapa bintang muda Kelantan FC yang lain untuk menghadapi kejohanan itu hujung bulan ini di Thailand.
Ternyata corak permainan dan aksi konsisten Rakesh ini mula membuatkan penyokong Kelantan FC merindui kelibat Subramaniam Sooryapparad yang membantu TRW menjuarai kejuaraan 'treble' pada 2012.
Subramaniam pernah membantu TRW menjulang kejuaraan 'treble' pada 2012. — Kelantan FA
Subramaniam beraksi bersama Kelantan sehingga 2013 sebelum berhijrah ke Johor Darul Takzim (JDT) pada 2014.
"Tengok Rakesh ini main teringat macam mana Subramaniam main dulu dengan Kelantan," kata Muhd Amer.
"The next Subramaniam, minat dengan corak permainan Rakesh, Mahali Jasuli itu dia letak dalam poket sahaja," ujar Trwsupporters.
"Baik Rakesh ini main, ini baru boleh panggil kereta kebal, generasi emas Kelantan is coming," jelas Baihaqiattiq.
Untuk rekod, Rakesh merupakan bekas pemain PJ City yang mana Subramaniam dilantik sebagai kapten pasukan itu pada musim lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram