Pol Corpas idam bawa 3 bintang Kelantan ke Kota Singa, dedah perbezaan Liga Malaysia dengan Singapura


  • Podium
  • Jumaat, 11 Ogos 2023

Pol dilantik sebagai analisis, penolong jurulatih B-21 dan ketua analisis akademi LCS.

MUNGKIN di negara ini rata-rata penyokong Liga Malaysia (Liga M) tidak mengikuti rapat perkembangan Liga Singapura.

Ia berkemungkinan kerana tiada pemain Malaysia yang beraksi dalam Liga Singapura dan sejarah kelab yang kurang kompetitif jika beraksi menentang pasukan Liga Super.

Jika Liga M mempunyai Johor Darul Takzim (JDT) sebagai lambang pemodenan bola sepak Malaysia, Liga Singapura turut berbangga dengan kemunculan pasukan Lion City Sailors (LCS) yang menjadi penanda aras kebangkitan Kota Singa itu.

Lion City Sailors antara pasukan terbaik yang serba-serbi lengkap dari segi fasiliti, pusat latihan serta skuad yang terbaik dalam Liga Singapura ketika ini.

LCS nampaknya seperti mahu memperkasakan pasukan apabila melamar Pol Corpas Cuatrecasas sebagai analisis, penolong jurulatih B-21 dan ketua analisis akademi LCS.

Pol Corpas atau nama Islamnya, Abu Bakar amat dikenali oleh penyokong Kelantan FC kerana kehebatan gandingannya bersama Rezal Zambery memimpin The Red Warriors (TRW) pada musim lalu.

WhatsApp Image 2023-08-10 at 3.59.47 PM

Pol sedang menyesuaikan diri dengan baik di Singapura.

Selepas mengharungi keadaan sukar bersama TRW, Pol akhirnya boleh berbangga dengan kariernya selaku jurulatih selepas menyertai juara Liga Singapura 2021.

"Saya telah menyesuaikan diri dengan baik di Singapura dan gembira dapat bersama Lion City Sailors.

"Ini adalah kelab bola sepak yang baharu dan sangat bercita-cita tinggi, ia jelas menunjukkan bahawa saya sudah ada kemajuan besar yang dicapai dan lebih banyak langkah sedang diambil.

"Saya sangat menikmati suasana sebelum dan selepas perlawanan dalam liga. Dengan pelbagai usaha yang dilakukan untuk melibatkan peminat, dan meningkatkan profesionalisme liga, saya fikir ada kemajuan yang baik, termasuk penambahan VAR musim ini," katanya kepada Majoriti.

LCS

Pusat latihan Lion City Sailors. Agensi

Pol berkongsi pandangannya tentang perbezaan Liga Malaysia dan Singapura selepas lebih sebulan menjawat jawatan di LCS.

"Kelab-kelab Liga Singapura tidak mempunyai stadium mereka sendiri, dari segi itu kemudahan kelab bola sepak Malaysia berada pada tahap yang lebih tinggi.

"Kita perlu mengambil kira bahawa Singapura adalah sebuah negara kecil dan kawasan itu sangat terhad, walaupun begitu, Pusat Latihan LCS adalah kemudahan bertaraf dunia.

"Pusat Latihan LCS mempunyai tiga padang bola sepak, gim yang serba lengkap, bilik fisio dan bilik analisis video.

"Liga Malaysia dengan peraturan baharu sembilan import telah mewujudkan situasi yang mana boleh menambah kualiti Liga Super.

"Singapura musim ini, hanya membenarkan empat import, tetapi ia bagus untuk memberi lebih banyak masa untuk pemain muda berkembang," jelasnya.

Muhaimin

Muhaimin (kiri) ketika beraksi menentang JDT. Facebook/TRW Kelantan

Apabila ditanya siapakah pemain Kelantan yang sesuai untuk beraksi dalam Liga Singapura, Pol berhasrat membawa tiga bintang muda TRW untuk mengembangkan bakat mereka di negara itu.

"Saya rasa pemain muda seperti Muhaimin Izuddin, Mohamad Fazrul Amir, Ikhwan Yazek dan Harith Akif sesuai beraksi dalam Liga Singapura kerana mereka memahami permainan serta sangat bersemangat untuk berjaya.

"Jika diberi peluang untuk bawa pemain-pemain itu saya rasa Muhaimin, Ikwan dan Fazrul akan jadi pilihan saya," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram