MUSIM ini pelbagai kontroversi menimpa sebilangan pasukan Liga Super dan antara yang sering mencuri tumpuan ialah apabila pihak pengurusan mengambil tindakan untuk menggugurkan beberapa ketua jurulatih.
Pengguguran ataupun pemecatan tersebut selalunya berlaku disebabkan masalah prestasi dan kegagalan mereka untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang sudah ditetapkan oleh pihak pengurusan kelab bola sepak.
Tidak dapat dinafikan ada pengendali yang berpisah dengan cara baik namun ada juga situasi berlaku sebaliknya apabila mereka disingkirkan dengan layanan tidak wajar daripada pihak pengurusan.
Seperti yang berlaku kepada seorang jurulatih dalam saingan Liga Super musim ini difahamkan kini hidup dalam keadaan mirip seperti 'gelandangan' apabila difahamkan terpaksa tidur di kereta dan di sebuah stor milik rakannya sejak beberapa minggu lalu.
Memetik laporan daripada Harian Metro, pengendali yang berstatus import itu baharu sahaja dipecat oleh sebuah pasukan Liga Malaysia (Liga M) namun terpaksa hidup sedemikian rupa di sekitar Lembah Klang selepas duit simpanannya habis digunakan.
Difahamkan pengendali yang pernah melatih sebuah pasukan kebangsaan dan juga pernah bergelar pengarah teknikal di luar negara masih menunggu tiket penerbangan daripada majikannya sebelum ini.
Tiket penerbangan itu merupakan antara janji yang termaktub dalam kontrak jurulatih berkenaan namun sehingga kini ia masih gagal ditunaikan oleh kelab tersebut sehingga menggunakan duit sendiri untuk menginap di hotel.
"Tapi sampai sekarang tak ada pun tiket dijanjikan, hingga jurulatih itu pun dah pokai tak ada duit.
"Sebelum ini beliau duduk di hotel guna duit sendiri tapi bila dah lama-lama duitnya dah kering dan itu yang dengarnya duduk kat stor dan dalam kereta," memetik laporan berita tersebut.
Nama Bernhardt menjadi nama pertama disyaki oleh penyokong mengenai identiti jurulatih itu. — Facebook/TRW
Meskipun belum ada sebarang pengesahan rasmi mengenai identiti pengendali tersebut namun rata-rata penyokong bola sepak tanah air mula berteka-teki individu tersebut berkemungkinan bekas jurulatih The Red Warriors (TRW), Frank Bernhardt.
Pada Jun lalu, pasukan Pantai Timur itu menamatkan kontrak Bernhardt secara rasmi sebagai ketua jurulatih Kelantan FC selepas gagal membawa sebarang kemenangan kepada skuad tersebut dan sering menjadi pasukan belasahan.
"Pasukan mana yang dah pecat jurulatih import?.. Perak, PDRM, Kuching City semua tempatan..ini mesti K (Kelantan) ini," komen penyokong, Ashraf Hazimi.
"Frank Bernhardt. Berapa saja pun harga tiket flight itu," teka seorang lagi penyokong, Leron Jannata.
"Frank Bernadt kena tipu sampai jadi gelandangan ke? Ini betul-betul gila," tambah penyokong, Abu Syafie.
Walau siapapun pengendali yang teraniaya itu, sebuah kelab bola sepak profesional sepatutnya memberi layanan seperti dijanjikan dalam kontrak dan bukannya menabur janji palsu kepada jurulatih. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram