LIGA Super 2023 kini sudah memasuki minggu ke-20 perlawanan dengan jumlah keseluruhan jaringan direkodkan daripada semua pasukan bersaing adalah sebanyak 249 gol.
Seperti diramal, Johor Darul Takzim (JDT) yang merupakan pendahulu liga menjadi pasukan dengan rekod jaringan tertinggi iaitu 74 gol diikuti Selangor FC (45), Sabah FC (44) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC (24).
Tempoh 20 perlawanan juga dilihat merupakan waktu mencukupi untuk pemain khususnya di bahagian serangan bagi membuktikan keupayaan masing-masing dalam menjaringkan gol.
Rekod penjaring terbanyak ketika ini dipegang Fernando Forestieri yang juga penyerang JDT dengan 17 jaringan diikuti Ayron Del Valle dari Selangor FC (16 gol) dan Bergson Da Silva dari JDT (14 jaringan).
Namun, bagi seorang penyerang, rekod jaringan diperoleh itu pastinya lebih bermakna sekiranya turut mereka berjaya mengumpulkan hatrik di dalam satu-satu perlawanan.
Berikut Majoriti senaraikan empat pemain Liga Super pernah mencatat hatrik dalam perlawanan pada musim 2023:
1. Bergson Da Silva
Bergson mencatat hatrik ketika bertemu Sabah FC pada Rabu lalu. — Johor Southern Tigers
Sejak tiga musim bersama JDT, Bergson berjaya secara konsisten meletakkan dirinya sebagai penjaring utama pasukan.
Pada musim ini, daripada 18 penampilan bersama pasukan, pemain kelahiran Brazil berusia 32 tahun itu berjaya merekodkan 17 jaringan.
Namun begitu, seakan-akan tidak mudah berpuas hati dengan gol dihasilkan, pemilik kasut emas Liga Super pada tahun lalu itu turut merekodkan dua hatrik dalam dua perlawanan liga pada musim ini.
Ia masing-masing ketika aksi menentang Kelantan United FC pada Mei lalu yang menyaksikan JDT menang besar 6-0 dan Sabah FC pada Rabu lalu (5-1).
2. Ayron Del Valle
Ayron (tengah) kini merupakan penjaringan terbanyak Selangor FC pada musim ini. — Selangor FC
Di sebalik kritikan dilemparkan terhadapnya pada awal musim ini, Ayron berjaya bangkit bagi membuktikan keupayaannya untuk bersaing di Liga Malaysia (M) bersama penyerang import lain.
Meskipun baru berada pada musim pertamanya, pemain kelahiran Colombia itu dilihat tidak mempunyai masalah bagi mencipta rekod membanggakan apabila berjaya dapat meletakkan dirinya sebagai antara penjaring terbanyak liga ketika ini.
Momentum terbaik prestasi dicapai itu juga membolehkan Ayron, 34, meraih hatrik ketika bertemu Kelantan United FC yang menyaksikan Selangor FC menang 7-1 dalam perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada 7 Jun lalu.
Kecemerlangan prestasi dipamerkan Ayron itu menyebabkannya terus menjadi pilihan untuk mengemudi pasukan dengan dia diturunkan dalam kesemua 20 perlawanan liga diharungi skuad Gergasi Merah.
3. Romel Morales
Romel (depan) terus menjadi tonggak utama bahagian serangan KL City FC pada musim ini. — Kuala Lumpur City
Berbanding dengan barisan penyerang import lain di Liga M, Romel Morales boleh dikatakan antara pemain termuda yang menjadi tonggak utama pasukan bagi beraksi di posisi tersebut.
Namun begitu, faktor umur tidak menjadi penghalang untuk Romel, 25, bagi mendapat kepercayaan barisan kejurulatihan Kuala Lumpur (KL) City FC untuk mengemudi bahagian hadapan pasukan sejak tiga musim lalu.
Pada musim ini, penyerang kelahiran Colombia itu berjaya merekodkan 10 jaringan daripada 21 penampilannya bersama skuad warga Ibu Kota.
Pada masa sama, Romel turut berjaya mencipta hatrik ketika pasukannya mencatatkan kemenangan 5-1 ketika bertemu Kelantan FC di Stadium Bola Sepak, dekat Cheras, Kuala Lumpur pada 29 Julai lalu.
4. Diogo Luis Santos
Diogo (kanan) ketika beraksi bersama JDT pada musim ini. — Johor Southern Tigers
JDT menerima satu berita buruk pada musim ini selepas kehilangan penyerangnya, Diogo Luis Santos disahkan terpaksa disisihkan untuk jangka masa panjang akibat kecederaan dialami.
Meskipun dilihat bukan lagi penyerang utama pasukan selepas kembali bersama Harimau Selatan pada musim ini, namun penyerang kelahiran Brazil ini mempunyai pengaruh agak signifikan khususnya daripada segi sumbangan gol.
Ini terbukti apabila dia yang kini sudah mencecah usia 37 tahun itu merekodkan tujuh jaringan dan enam bantuan gol daripada 17 penampilannya bersama pasukan pada musim ini.
Pada masa sama, sebelum mengalami kecederaan, Diogo turut berjaya mencatatkan hatrik ketika aksi menentang KL City FC pada 3 Julai lalu dalam aksi menyaksikan JDT menewaskan lawannya itu dengan jaringan 6-1. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram