Prestasi Terengganu suam-suam kuku, tapi Tomislav bina ‘masterpiece’ untuk masa depan Sang Penyu


  • Podium
  • Jumaat, 11 Ogos 2023

Tomislav Steinbruckner. — Facebook/TFC

DALAM lima perlawanan terakhir, Terengganu FC mencatatkan tiga seri dan dua kemenangan yang mana sedikit sebanyak menggembirakan penyokong-penyokong pasukan dari Pantai Timur itu.

Terengganu baru-baru ini menewaskan pasukan jiran, Kelantan United dengan jaringan yang besar iaitu 4-1 di halaman lawan.

Empat gol itu dijaringkan oleh Ivan Mamut, Sony Norde, Nik Sharif Haseefy dan Hakimi Abdullah yang mana mengekalkan Sang Penyu di tangga keenam Liga Super.

Walaupun prestasi anak-anak buah Tomislav Steinbruckner tidak menentu, namun penyokong masih perlu berbangga dengan projek yang sedang dia laksanakan di Terengganu.

Terengganu FC

Kesebelasan utama Terengganu ketika menewaskan Kelantan United. Facebook/TFC

Menerusi laman Facebook Analisis Bola Tranung, pemerhati bola sepak itu memuji keberanian dan kepercayaan Tomislav meletakkan pemain-pemain muda dalam kesebelasan utama.

Sehingga mana, Tomislav berani untuk mengenepikan pemain import, Sardor Kulmatov di bangku simpanan.

"Langkah penuh berani dan kepercayaan yang cukup tinggi daripada Tomislav Steinbruckner. Ia melihat kepada gandingan duo pertahanan tempatan yang sangat muda iaitu berusia 20 dan 21 tahun.

"Safwan Mazlan dan Muhammad Ubaidullah meneruskan perlawanan kedua berturut-turut sebagai kesebelasan utama di posisi pertahanan tengah.

"Keberanian yang penuh berisiko diambil oleh Tomislav dengan meminggirkan Sardor Kulmatov di bangku simpanan," katanya.

Dia juga bersetuju dengan apa yang sedang dilakukan Tomislav ketika ini demi kebaikan masa depan bola sepak Terengganu.

"Tetapi ia tidak terlalu 'gila' memandangkan kepada profil kedua-dua pemain pertahanan muda ini.

"Mereka adalah tonggak utama pertahanan bawah 23 kebangsaan. Tidak bersetuju dengan sesetengah langkah yang diambil itu tidak bermakna tiada sedikit pun perkara baik yang boleh kita ambil positif.

"Ini masa depan bola sepak kita, bahan-bahannya sudah ada, namun pengurusan bakat ini perlu berada pada tangan yang betul.

"Midfielder ada pembaharuan. Ia boleh untuk saya ceritakan, tetapi bukan lagi untuk dipuji. Masih di peringkat awal revolusi di bahagian tengah kita ini.

Sony Norde

Pemain Terengganu meraikan jaringan Sony Norde. Facebook/TFC

Pandangan yang dilontarkan Analisis Bola Tranung itu turut mendapat respons positif daripada penyokong lain yang mana salah seorang peminat TFC, Ali Hassan turut berkongsi pendapatnya di ruangan komen.

"Engku Shakir makin matang di bawah Tomislav dan dia pandai meletakkan Shakir di posisi baharu.

"Syafik Ismail lebih kerap mendapat kepercayaan Tomislav sebelum dia cedera.

"Rotasi pemain daripada Tomislav bagus untuk setiap pemain mendapatkan minit permainan.

"Yang paling bangga bawah Tomislav ini ialah keberanian dia menaikkan pemain muda.

"Selepas ramai pemain muda dapat peluang naik. Masih menunggu bila pula peluang Isa Rahman, Muslihudin Atiq dan Shaiful Haqim," ujarnya.

Terengganu memang terkenal dengan melahirkan ramai bakat-bakat baharu seperti Azam Azmi Murad, Rahadiazli Rahalim dan beberapa pemain lain lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram