TIGA pemuda berbakat besar sedang mewakili Malaysia dalam World Freestyle Football Championship (WFFC) di Republik Czech.
Sebelum ini, pencapaian membanggakan itu dikongsikan salah seorang peserta, Muhammad Hazim Ahmad Fadlullah Suhaimi atau Zeem Ahmad menerusi ciapan di laman Twitter Selasa.
"Kami tiga football freestyler mewakili Malaysia di World Freestyle Football Championship di Prague, Czech Republic," katanya.
Selain Zeem, dua lagi peserta Malaysia yang layak bertanding termasuklah Muhammad Anas Hakimi Nur Hashim dan Zulhilmi Zuaswa.
Namun terbaharu, Zeem berkongsi di media sosial bahawa Anas Hakimi berpeluang memenangi pertandingan itu selepas layak ke pusingan akhir yang mana lawannya ialah Ukraine.
Zeem turut berkongsi video setiap pergerakan Anas diiringi dengan sorakan penonton yang terpukau dengan aksi freestyle football yang dipertontonkan di atas pentas itu.
"Malaysia akan ke final lawan Ukraine, semoga Anas dari Malaysia dapat bawa balik piala untuk kita," ciapnya di Twitter.
Untuk makluman, Zeem Ahmad bukanlah nama asing dalam kalangan peminat sukan bola sepak gaya bebas tempatan.
Figura berusia 28 tahun yang juga merupakan seorang pencipta kandungan itu pernah dinobatkan Naib Johan Kejohanan Asia Tenggara di Singapura dan tempat ketiga Kejohanan Asia Pasifik di Vietnam.
Malah, dia juga sering diundang untuk membuat persembahan serta ditawarkan menjadi juri bagi pertandingan sukan bola sepak gaya bebas di beberapa negara Asia termasuk Filipina, Thailand, Singapura, Vietnam dan Jepun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram