[VIDEO] Gara-gara kad merah, Subkhiddin pernah bergaduh dengan legenda Real Madrid


  • Podium
  • Jumaat, 11 Ogos 2023

Subkhiddin antara pengadil terbaik dalam sejarah bola sepak Malaysia.

MALAYSIA semestinya berbangga dapat melahirkan ramai pemain-pemain bintang yang mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa seperti Safiq Rahim, Amri Yahyah, Safee Sali dan ramai lagi.

Tetapi permainan bola sepak itu bukan sahaja melibatkan pemain malah ia termasuk beberapa individu penting seperti jurulatih, penyokong dan pengadil.

Pengadil antara individu yang sering menjadi kecaman penyokong kerana mereka membuat keputusan di atas setiap tindakan pemain-pemain.

Namun Malaysia harus berbangga kerana negara ini melahirkan pengadil bertaraf antarabangsa iaitu Subkhiddin Salleh yang pernah berkhidmat di Piala Dunia FIFA 2010.

Subkhiddin

Subkhiddin Salleh. Agensi

Pertandingan pertama Subkhiddin sebagai pengadil antarabangsa ialah pertandingan kelayakan Piala Dunia FIFA 2002 antara Iraq menentang Nepal.

Dalam perlawanan terbabit, Subkhiddin memberi kad kepada lima pemain dengan menghantar keluar salah seorang daripada mereka.

Selain itu, dia turut terpilih sebagai pengadil untuk Piala Dunia Bawah 20 tahun (B-20) 2007 di Kanada, yang mana Subkhiddin menjadi pengadil pertandingan peringkat kumpulan antara Panama dan Argentin serta suku akhir antara Chile dan Portugal.

Dalam perlawanan suku akhir itu, Subkhiddin terlibat dalam satu insiden pelik yang mana pemain Portugal, Zequinha mengambil kad merah dari tangannya kerana tidak berpuas hati dengan keputusan yang diberikan.

Ketika itu Subkhiddin menghantar keluar Mano (Portugal), menyebabkan kekeliruan daripada penonton dan pengulas sukan yang kemudian menyebabkan Zequinha turut dibuang padang.

Semasa pergaduhan itu, salah seorang bekas pemain Real Madrid, Fabio Coentrao turut terlibat bergaduh mulut dengan bekas pengadil berusia 56 tahun.

Subkhiddin terpilih sebagai pegawai keempat untuk Piala Dunia FIFA 2010 yang mana dia merupakan pengadil Malaysia pertama yang terpilih untuk mewakili negara pada kejohanan berpestrij itu.

Subkhiddin juga merasmikan Piala AFC 2011 dan dia secara rasmi bersara pada Ogos 2011. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram