'Campak mana-mana pun perform', Ifedayo antara 4 import cemerlang bersama pasukan berbeza


  • Podium
  • Khamis, 10 Ogos 2023

Ifedayo sudah menjaringkan lima gol dalam empat perlawanan bersama Kedah. — Facebook/KDA FC

JENDELA perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) baru sahaja melabuhkan tirainya pada 1 Ogos 2023 yang mana kesemua pasukan bertanding mengambil kesempatan memperbaiki kelemahan kelab masing-masing.

Antara pemain import baharu yang sudah mula menunjukkan taringnya ialah Ramon Machado (Sabah FC), Heberty Fernandes (Johor Darul Takzim) dan beberapa pemain lain.

Namun lain pula ceritanya untuk pemain seperti Ifedayo Olusegun yang masih lagi berbisa meskipun sudah enam bulan tidak beraksi secara kompetitif bersama mana-mana pasukan.

Selain Ifedayo, beberapa pemain import lain masih kekal relevan beraksi dalam Liga M walaupun sudah mewakili pelbagai kelab di negara ini.

Majoriti senaraikan empat pemain import yang masih berbisa walaupun sertai kelab lain dalam Liga M musim ini:

Ifedayo

Ifedayo kembali ke Liga M dengan menyertai Kedah. Facebook/KDA FC

1. Ifedayo Olusegun

Mula beraksi dalam Liga M bersama Felda United, Ifedayo Olusegun berjaya melakukan lapan penampilan dengan lima jaringan serta dua assist pada 2017.

Kembali ke Liga M, Ifedayo cemerlang bersama Selangor apabila menyambung legasi penjaring terbanyak Liga Super yang ditinggalkan Rufino Segovia.

Ifedayo berjaya merangkul serta mempertahankan gelaran penjaring terbanyak Liga Super 2020 dan 2021.

Bersama Selangor, Ifedayo menjaringkan 50 gol serta tujuh assist dalam 43 penampilan bersama Gergasi Merah.

Musim ini, Ifedayo melakukan 'come back' dengan menyertai Kedah pada jendela perpindahan kedua Liga Super dan sudah menjaringkan lima gol dalam empat perlawanan.

Kpah

Kpah pernah merangkul anugerah penjaring terbanyak Liga Super 2019 bersama PKNS FC. MFL

2. Kpah Sherman

Antara penyerang prolifik dalam Liga M, Kpah Sherman pernah merangkul anugerah penjaring terbanyak Liga Super 2019 bersama PKNS FC.

Musim pertama dalam Liga Malaysia, Kpah membuktikan dia seorang penyerang yang sangat berkualiti apabila menjaringkan 14 gol dalam 19 penampilan.

Sejak daripada itu Kpah sudah hampir lima tahun beraksi dalam negara ini dengan mewakili Kedah Darul Aman FC, Terengganu FC dan Sri Pahang FC.

Musim ini, Kpah antara watak utama Tok Gajah apabila berjaya menjaringkan 10 gol dalam 19 perlawanan setakat ini.

created by InCollage

Hidalgo menyertai KDA FC daripada Sri Pahang FC selepas cemerlang bersama Tok Gajah musim lalu. Facebook/KDA FC

3. Manuel Hidalgo

Nama Manuel Hidalgo tidak asing lagi dalam Liga Super selepas dia merupakan antara pemain import muda yang mendapat perhatian penyokong bola sepak tempatan.

Pemain berusia 24 tahun itu menyertai Kedah Darul Aman FC (KDA FC) daripada Sri Pahang FC selepas cemerlang bersama Tok Gajah musim lalu.

Hidalgo dalam 19 penampilan berjaya menjaringkan tiga gol dan melakukan tujuh assists dan merupakan tonggak utama Hijau Kuning musim ini.

Sebelum ini bersama Pahang, Hidalgo berjaya menjaringkan sembilan gol serta 14 assist dalam 35 penampilan sejak mewakili kelab itu pada 2021.

Kipre

Kipre berjaya menjaringkan enam gol dan tiga assist musim ini bersama KL City. Facebook/KL City

4. Tchetche Kipre

Berhijrah ke KL City musim ini, Tchetche Kipre tidak kehilangan sentuhannya di depan pintu gol.

Berikutan faktor usia, pemain berusia 35 tahun itu sentiasa dilihat sebagai pemain gantian kepada penyerang lain dalam Liga Super sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun pemain kelahiran Ivory Coast itu sentiasa mencari jalan untuk mendapatkan keyakinan jurulatih supaya diturunkan dalam kesebelasan utama.

Ia dibuktikan apabila dia menjadi pilihan utama Bojan Hodak untuk mengetuai jentera serangan KL City musim ini.

Dalam liga, Kipre berjaya menjaringkan enam gol dan tiga assist sepanjang 18 penampilan bersama KL City di Liga Super.

KL City merupakan kelab ketiga Kipre dalam Liga M. Sebelum ini, dia menyarung jersi Terengganu FC (31 gol, tujuh assist) dan Kedah (20 gol, 15 assist). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram