KEHADIRAN pemain import ke sebuah pasukan Liga Malaysia (Liga M) sering membawa keterujaan kepada penyokong kerana mereka percaya bahawa tonggak dari luar negara itu akan memperkukuhkan lagi kelab kesayangan.
Malah, perbezaan fizikal dan pengalaman beraksi di liga lain sebelum ini menjadi taruhan utama untuk awang import tersebut menjadi tunjang kelab yang mengambil khidmat mereka.
Namun tidak semua indah belaka apabila ada beberapa kelab yang tidak sempat menggunakan kepakaran import tersebut apabila pemain dari negara lain itu ditimpa masalah kecederaan kecederaan.
Kecederaan yang dialami itu membuatkan mereka tidak sempat menunjukkan kebolehan masing-masing sehingga akhirnya hanya menjadi mangsa kecaman daripada sebahagian penyokong.
Berikut empat awang import yang tidak berkesempatan tunjuk skil susulan masalah kecederaan yang dihadapi;
1) Richmond Boakye
Boakye baru tampil dalam lima aksi Liga Super bersama Selangor. — Facebook/Selangor
Kehadiran penyerang import Selangor FC, Richmond Boakye ke saingan Liga M mencuri perhatian ekoran latar belakangnya yang sebelum ini pernah beraksi bersama pasukan gergasi Itali, Juventus.
Namun, pengalamannya bersama pasukan tersebut masih belum diterjemahkan di saingan domestik apabila setakat ini prestasinya masih belum memuaskan hati penyokong.
Masalah kecederaan yang membelenggu dirinya juga boleh menjadi faktor pemain berusia 30 tahun itu masih tidak dapat memikat hati penyokong Gergasi Merah menerusi prestasinya yang sebenar.
Pada aksi Liga Super Selangor menentang Johor Darul Takzim (JDT) yang menyaksikan Harimau Selatan menang 2-0 di laman sendiri, Boakye tidak sedarkan diri selepas berlaku pelanggaran dengan rakan sepasukan, Samuel Somerville.
Difahamkan, Boakye disahkan mengalami kecederaan kepala cerebral concussion sehingga memerlukan pemantauan, pemeriksaan dan rawatan lanjut.
2) Rafael Silva
Rafael sudah tampil dalam dua aksi Liga Super bersama Tok Gajah. — Facebook/SriPahang
Rafael Silva hadir dengan reputasi apabila dia pernah menjadi penjaring terbanyak Liga Indonesia ketika beraksi bersama PS Barito Putera dengan menjaringkan 14 gol dalam 28 penampilan.
Namun, rekod cemerlang tersebut tidak dapat diteruskan bersama Sri Pahang apabila hanya turun dalam dua perlawanan Liga Super dan tidak mencetak sebarang jaringan gol.
Lebih mengeruhkan keadaan apabila pemain tersebut tidak diturunkan dalam perlawanan penting menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC baru-baru ini susulan masalah kecederaan.
Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad yang mengesahkan penyerang berusia 32 tahun itu tidak dapat diturunkan sehingga perubahan formasi terpaksa dilakukan.
3) Lucas Silva
Lucas kini beraksi bersama skuad simpanan Sri Pahang bagi Piala MFL. — Facebook/SriPahang
Bekas penyerang prolifik Penang FC, Lucas Silva seperti tidak menjadi musim ini apabila masih buntu mencetak jaringan bersama Sri Pahang sejak menyertai kelab itu pada awal musim ini.
Malah, pemain berusia 33 tahun itu juga terpalit dengan masalah kecederaan semasa latihan pra musim yang memaksa dia berehat panjang semasa pusingan pertama liga.
Sekembalinya dari rehat yang panjang itu, Lucas masih tidak menemui prestasi terbaiknya sehingga gagal disenaraikan sebagai penyerang utama Tok Gajah pada awal musim ini.
Setakat ini, Lucas hanya sempat beraksi dalam tiga perlawanan Liga Super dan kini khidmatnya hanya digunakan untuk saingan Liga Juara Piala MFL bersama skuad simpanan Pahang.
4) Miguel Cifuentes
Cifuentes ataupun Cifu baru sempat beraksi satu perlawanan untuk Sabah. — Facebook/SabahFC
Miguel Cifuentes merupakan antara import cemerlang Kelantan FC sehingga kepakarannya berhasil memikat pengurusan Sabah FC untuk membawanya masuk pada jendela perpindahan kedua.
Namun, kecemerlangannya bersama skuad The Red Warrios (TRW) tidak diteruskan bersama The Rhinos dan salah satu faktor apabila isu kecederaan menghantui pemain berusia 32 tahun itu.
Rentetan masalah kecederaan tersebut, bekas pemain Ła Liga itu gagal untuk memberi sebarang impak sepanjang bersama kelab Borneo itu.
Setakat ini, Cifu hanya beraksi sebanyak sekali dalam Liga Super bersama skuad Sang Badak dengan tiada catatan jaringan direkodkan buatnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram