[VIDEO] Peminat fanatik The Rhinos rebah di Stadium Likas, punca kematian disahkan doktor


  • Podium
  • Khamis, 10 Ogos 2023

Tangkap layar daripada video ketika penyokong tersebut diusung untuk diberikan rawatan. Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu.

SEORANG penyokong fanatik The Rhinos yang hadir untuk menyaksikan aksi Liga Super antara Sabah FC dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah dilaporkan meninggal dunia selepas pengsan ketika meraikan gol pembukaan tuan rumah.

Penyokong terbabit, Addly Elly Mily, 39, yang merupakan kakitangan Pejabat Pengarah Penjara Negeri Sabah Dan Wilayah Persekutuan Labuan dilaporkan sudah menghembuskan nafas terakhirnya ketika sedang dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu, Sabah.

Berdasarkan laporan doktor Hospital Queen Elizabeth 1, Liew Seng Yong, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 9.30 malam dan punca kematian tidak diketahui (brought in death/undertermined).

Dalam perlawanan itu, skuad Sang Badak berada di hadapan seawal minit ke-13 menerusi jaringan Jefri Firdaus Chew sebelum tewas 1-5 hasil hatrik daripada Bergson da Silva dengan Juan Muniz dan Heberty Fernandes masing-masing menjaringkan satu gol.

Suasana di stadium ketika perlawanan itu sememangnya cukup meriah dengan laporan mengatakan kesemua tiket kepada penyokong tempat sendiri habis terjual.

Sementara itu, Sabah FC menerusi satu kenyataan di media sosial rasmi kelab turut menyampaikan rasa simpati mereka ke atas pemergian individu berkenaan.

"Allahyarham meninggal dunia dalam perjalanan menuju ke hospital selepas tidak sedarkan diri semasa menyaksikan perlawanan Sabah FC vs JDT di Stadium Likas semalam (Rabu).

"Sabah FC turut berdukacita, bersimpati dan sekali lagi memanjangkan ucapan Takziah kepada keluarga Allahyarham," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram