[VIDEO] Pengasuh taska tergamak tendang, pukul budak lelaki tengah makan di Penampang


  • 112
  • Khamis, 10 Ogos 2023

Tangkap layar menunjukkan seorang budak lelaki didera pengasuh taska di Jalan Kampung Seronok Nosoob, Penampang baru-baru ini.

IBU bapa mana yang tidak marah melihat anak dipukul tak ubah seperti binatang dalam satu kejadian di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Jalan Kampung Seronok Nosoob, Penampang, Sabah baru-baru ini.

Melalui satu video tular yang dimuat naik di sosial media sejak Rabu itu, seorang budak lelaki berusia empat tahun ditampar, ditendang dan dipukul menggunakan pembaris di bahagian muka dan kepala berkali-kali ketika hendak makan oleh pengasuh wanita taska berkenaan.

Dalam video berdurasi dua minit lebih berkenaan, turut kedengaran suara seorang perempuan dipercayai ibu kepada kanak-kanak berkenaan meluahkan perasaan marah apabila melihat anaknya dipukul.

"Pernah terfikir siapa yang kau tendang itu?

"Kesian anak saya, boleh kau tarik rambut anak saya seperti itu! Boleh tahan kau buat anak orang begitu," luahnya dengan nada geram dan marah.

Dalam video tersebut juga memaparkan pengasuh berkenaan turut mengasari kanak-kanak lain dalam taska tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, pihaknya setakat ini, menerima tiga laporan polis mengenai kejadian itu.

Katanya, laporan polis itu daripada ibu mangsa, pengusaha taska dan pengasuh taska (suspek) yang mendakwa dikasari oleh bapa kanak-kanak terbabit.

"Mangsa kanak-kanak dan suspek dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) untuk pemeriksaan doktor.

"Setakat ini, dua kertas siasatan dibuka iaitu mengikuti Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan" katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Zaidi berkata, terdahulu pihaknya mengesan satu rakaman video yang tular memaparkan seorang kanak-kanak lelaki yang dikasari oleh seorang pengasuh di taska.

Katanya, hasil siasatan awal polis mendapati insiden itu berlaku di sebuah taska di Luyang.

"Ibu bapa kepada kanak-kanak (mangsa) itu dimaklumkan oleh anaknya bahawa dia dikasari pengasuh taska sehingga mendapati kesakitan di beberapa bahagian tubuhnya.

"Ibu bapa kanak-kanak itu pergi ke taska berkenaan dan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati anaknya (mangsa) dikasari oleh seorang pengasuh di taska berkenaan lalu membuat laporan polis di Balai Polis Penampang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram