JARINGAN awal Sabah FC masih tidak mampu menghalang Johor Darul Takzim (JDT) daripada terus mendominasi Liga Super dengan rekod tanpa kalah musim ini apabila berjaya menewaskan The Rhinos dengan keputusan 5-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu.
Anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee mengejutkan seluruh penyokong bola sepak dengan jaringan awal Jafri Firdaus Chew pada minit ke-13 permainan.
Namun tiga minit kemudian, Juan Muniz (JDT) kembali menyamakan kedudukan menerusi rembatan roket kaki kiri yang menewaskan Damien Lim.
Perlawanan semakin panas dengan beberapa insiden kekasaran di antara kedua-kedua pasukan sehingga berlakunya layangan kad kuning.
Pada minit ke-20, Oscar Arribas (JDT) dijatuhkan oleh Rawilson Batuil (Sabah) dalam kotak penalti sehingga menyebabkan pengadil perlawanan, Razlan Jofri Ali memberikan sepakan penalti.
Penalti tersebut mejadi perdebatan penyokong Sabah yang mengatakan tidak wajar kerana ia hanya pelanggaran biasa di dalam kotak penalti.
Kesebelasan utama Sabah ketika menentang JDT. — Facebook/JDT
Bergson da Silva menyempurnakan penalti itu yang disambut dengan laungan tidak puas hati penyokong Sabah.
Bersambung babak kedua, JDT tidak mengambil masa yang lama untuk menjarakkan keputusan jaringan menerusi rembatan deras Heberty Fernandes pada mint ke-47.
Walaupun Sabah sedaya upaya cuba bangkit menerusi pelbagai serangan yang direncanakan, JDT tetap mampu menghalang pergerakan Sang Badak.
Bergson terus menambah duka Sabah apabila menjaringkan dua gol sekali gus mencatatkan hatrik dalam perlawanan itu.
Keputusan kekal 5-1 sehingga wisel penamat ditiupkan oleh Razlan Jofri Ali.
Bergson berjaya menjaringkan hatrik dalam perlawanan menentang Sabah. — Facebook/JDT
Penyokong-penyokong Sabah tidak berpuas hati dengan keputusan penalti yang diberikan pengadil perlawanan yang mana dilihat membunuh moral pemain Sabah untuk terus bangkit dalam perlawanan itu.
"Pengadil buat kacau, entah apa sebab boleh ramal sudah keputusan," kata Peter.
"JDT main dengan 12 orang ini, macam biasa Sabah lawan pengadil," ujar Jalim Phang.
"Rosak game Sabah sebab penalti, pengadil memang tunggu masa itu nak bagi penalti," jelas JeffPmoc Pmoc.
"Tahniah Sabah, main dengan sangat berani, buang jauh sikap terlalu hormat dengan pemain lawan," luah Zachary Harry.
"Pengulas pun terkejut, tidak sampai satu saat jatuh sendiri terus penalti. Pengadil memang win," kata Zibur Kashlasa.
JDT kini terus kekal selesa sebagai pendahulu Liga Super dengan 57 mata dan hanya memerlukan lima mata lagi untuk mengekalkan kejuaraan, manakala Sabah di kedudukan tangga kelima dengan 36 mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram