Vera lega tamatkan penantian kemenangan bersama TRW, Devan anggap skuad Jang 'layak kalah'


  • Podium
  • Khamis, 10 Ogos 2023

Aksi sengit ditampilkan kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan pada Rabu. — Facebook/MFL

AKSI bertenaga yang ditampilkan pemain Kelantan FC ketika beraksi di laman sendiri merupakan kunci utama mereka berjaya mengumpul tiga mata ketika berdepan Negeri Sembilan FC pada Rabu.

Ketua jurulatih skuad The Red Warriors (TRW), Alfredo Vera jelas gembira dengan keputusan itu mengatakan semangat juang anak-anak buahnya sepanjang 90 minit permainan amat membanggakan.

"Saya akui perlawanan malam ini bukan mudah namun rezeki memihak kepada kami. Kemenangan ini penting kerana hampir 15 perlawanan Kelantan FC tidak mendapat tiga mata penuh.

"Saya sangat gembira kerana semua pemain muda kami bekerja keras untuk mendapatkan tiga mata malam ini... (Rabu) Mereka mulai percaya dan berani. Jika kami mempunyai cukup pemain import, pasukan boleh bermain dengan lebih bagus lagi,” katanya.

366379854_313009574454366_9096791664817786112_n

Rolon menjadi watak utama buat skuad TRW apabila menjaringkan dua gol penting. Facebook/MFL

Kemenangan itu diraih hasil dua gol daripada pemain import Argentina, Leonardo Rolon seawal minit pertama perlawanan dan minit ke-30.

Ia sekali gus meletakkan skuad TRW berada di kedudukan kedua tercorot liga selepas melakar kemenangan kali kedua selepas mengharungi 19 perlawanan Liga Super.

Sementara itu, ketua jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan mengakui kekalahan skuad Jang berpunca daripada persembahan longlai pemainnya.

"Perlawanan malam ini (Rabu) kurang baik, kita layak untuk kalah malam ini disebabkan pemain saya sangat teruk, tak boleh simpan bola, hantaran tidak betul. Kami tidak bermain seperti biasa, pemain tidak cukup agresif seperti Kelantan FC malam ini,” katanya.

Devan dalam pada itu. turut mengakui dua gol yang diperoleh Kelantan babak pertama permainan telah merosakkan perancangan pasukan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram