Kelantan catat kemenangan sulung bawah Vera, nama Moon-sik kembali timbul


  • Podium
  • Rabu, 09 Ogos 2023

Prestasi cemerlang ditonjolkan Rolon (kiri) sejak beberapa perlawanan akhir ini menyebabkan penyokong Kelantan FC mempersoalkan kredibiliti Moon-sik. — Facebook/TRWKelantanFC

KELANTAN FC akhirnya berjaya mencatatkan kemenangan sulung di bawah pengendalinya, Alfredo Vera selepas menewaskan Negeri Sembilan FC 2-0 dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Rabu.

Dua jaringan tersebut terhasil daripada pemain importnya, Leo Rolon masing-masing menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti pada minit kedua dan ke-30.

Kemenangan itu membolehkan Kelantan FC naik satu anak tangga ke kedudukan ke-13 hasil tujuh mata selepas 19 perlawanan, satu mata terpisah daripada Kuching City yang kini berada di tangga tercorot Liga Super 2023.

Meskipun diasak dengan agak hebat oleh NSFC pada separuh masa kedua, anak buah Vera berjaya mengekalkan kedudukan tersebut sehingga tamat perlawanan.

Ini merupakan kali pertama Kelantan FC tidak merekodkan sebarang bolos selepas 15 perlawanan Liga Super 2023.

Dalam pada itu, rata-rata penyokong Kelantan FC melahirkan keterujaan mereka melihat kepada aksi ditonjolkan Rolon bukan sahaja dalam aspek serangan tetapi juga di bahagian pertahanan.

"Rolon sejak diletakan di posisi bek, jarang pemain lawan boleh masuk di bahagian yang dia diletakkan," tulis Pokley Bachok.

"Rolon pemain terbaik Kelantan FC musim ini. Di bawah jurulatih baharu, Rolon diberi posisi baharu dan dia menjadi pemain import terbaik musim ni. Wajib dikekalkan musim depan. Taktikal jurulatih ini pun bagus," ujar Leron Jannata.

Sementara itu, prestasi semasa dipamerkan pemain Argentina itu yang menyertai pasukan sejak awal musim ini juga menyebabkan penyokong Kelantan FC kembali membangkitkan nama bekas jurulatih pasukan, Choi Moon-sik.

Ini kerana menurut jurulatih kelahiran Korea Selatan itu disifatkan tidak pandai mengeluarkan potensi sebenar barisan pemain yang dimiliki.

"Coach Korea itu tidak ada pengalaman menjadi jurulatih di peringkat tertinggi. Tak pandai guna pemain yang ada," ujar Muhamad Fahmi Aiman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram