Tak macam sekarang, nasib JDT dalam Piala Malaysia pernah ibarat telur di hujung tanduk


  • Podium
  • Khamis, 10 Ogos 2023

Pelbagai cabaran perlu ditempuhi skuad Harimau Selatan sebelum bergelar kuasa besar bola sepak negara. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

KEMENANGAN bergaya 5-1 yang diraih Johor Darul Takzim (JDT) ketika berdepan Sabah FC di tempat lawan pada Rabu semakin mendekatkan mereka dengan gelaran Liga Super untuk kali ke-10 berturut-turut.

Selepas tidak mencicirkan sebarang mata, pasukan Selatan tanah air itu semakin hampir untuk menjulang trofi ketiga musim ini selepas memenangi Piala FA dan Piala Sumbangsih sebelum ini.

Jadi, untuk memastikan mereka dapat meneruskan cengkaman dalam dunia bola sepak domestik, kejayaan dalam saingan Piala Malaysia bakal mengukuhkan lagi legasi mereka.

Skuad kendalian Esteban Solari bagaimanapun dilihat tidak berada dalam tekanan memandangkan mereka sudah selangkah ke suku akhir apabila menumpaskan Kelantan FC dengan keputusan 5-1 pada perlawanan pertama.

Jika mereka muncul juara dalam pertandingan berkenaan, ia akan menyaksikan JDT menjadi pasukan pertama memenangi empat gelaran untuk dua musim berturut-turut.

JDT 8

JDT pastinya tidak terlalu kecewa memandangkan mereka menjuarai Piala FA dan Liga Super pada tahun tersebut. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Cuma jika dikenang semula, pencapaian itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai memandangkan skuad Harimau Selatan pernah bergelut untuk melepasi peringkat kumpulan Piala Malaysia pada tujuh tahun lepas.

Mereka yang ketika itu diundi di samping PDRM FC, PKNS FC dan Perak FA hanya mengumpul dua mata daripada tiga perlawanan, termasuk mengalami kekalahan ketika berdepan skuad The Bos Gaurus (TBG) 0-3 di tempat lawan.

Tekanan besar dirasai pengurus pasukan ketika itu, Mario Gomez yang perlu meraih tiga mata di Stadium Larkin, Johor pada 10 Ogos 2016 sementara dua lagi kelab turut berentap pada hari sama.

Meskipun mempunyai lambakan pemain import dan tempatan berkualiti, JDT akhirnya bergelut apabila hanya membawa pulang satu mata sementara PKNS FC menang ke atas lawan mereka.

Namun, ia masih tidak mencukupi buat pasukan itu untuk memastikan kemaraan dengan hanya satu kemenangan direkodkan, sekali gus meletakkan mereka di dasar carta kumpulan.

Bagaimanapun, pencapaian pasukan pada musim 2016 masih boleh dianggap satu perkara yang berharga apabila mereka muncul juara Liga Super dan Piala FA serta muncul di peringkat separuh akhir Piala AFC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram