[VIDEO] Tak babit pertumpahan darah, gusti bantal peringkat dunia kini jadi bualan


  • Podium
  • Rabu, 09 Ogos 2023

Antara aksi perlawanan kejohanan PFC menggunakan bantal baru-baru ini. — Agensi

MUNGKIN dahulu kita sering melihat perlawanan gusti merupakan sukan lasak yang mempertaruhkan nyawa dengan berlaku pertumpahan darah dan menyakitkan.

Bagaimanapun, bagi mereka yang takut akan darah, terdapat satu lagi sukan gusti yang lebih selamat dan mula mendapat perhatian orang ramai, iaitu Kejohanan Dunia Pertarungan Bantal (PFC).

Menurut laporan Daily Star, Pillow Fighting World Championship atau PFC merupakan gusti yang menggunakan bantal sebagai alatan sukan itu.

Sukan ini juga hampir sama dengan sukan gusti lain kerana mempunyai gelanggang, pengadil dan peraturan untuk menjatuhkan pihak lawan ke tanah.

"PFC bukan hanya sekadar pergaduhan bantal, sukan ini juga tentang hiburan dan keseronokan,” maklum pihak PFC dalam satu kenyataan di laman web rasmi.

Tambah pihak pengurusan sukan itu, PFC telah menjadi satu sukan yang popular. Sukan ini juga menguji semua aspek kekuatan para peserta.

"PFC telah menjadi sukan yang popular dengan sangat pantas. Menariknya, sukan ini dapat menguji peserta dalam semua aspek kekuatan, stamina dan kemahiran strategik berbanding sukan lain yang lebih ganas.

"PFC memberikan lebih hiburan, Ia merupakan pertarungan tangan ke tangan tanpa sebarang pertumpahan darah,” maklum PFC lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PFC, Steve Williams turut memberitahu bahawa PFC merupakan satu sukan baharu.

"Ia adalah sukan baharu yang paling menarik untuk ditonton buat masa ini. Saya sangat serius dengan sukan ini. Sebahagian ramai tidak mahu melihat peserta cedera dan berdarah.

"Mereka mahu menonton perlawanan yang lebih ringan dan kurang keganasan,” katanya.

Difahamkan, salah satu syarikat penyiaran sukan luar negara, ESPN turut menyiarkan Kejohanan Dunia Pertarungan Bantal ini.

Hal ini sekali gus menyaksikan sukan ini semakin mendapat tempat dalam kalangan orang ramai.

Dalam pada itu, sebahagian besar penonton juga terkejut dengan sukan yang disiarkan di kaca TV itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram