Andai tiada seruan KPG, 3 pemain berpeluang ganti Faisal Halim lawan Syria, China


  • Podium
  • Isnin, 07 Ogos 2023

Teka-teki kedudukan Faisal dalam skuad kebangsaan bulan depan masih menjadi persoalan orang ramai.

UMUM mengetahui pemain sayap kebangsaan, Mohd Faisal Abdul Halim digantung oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selama empat bulan selepas didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (Kenyataan Akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan Kepada Media).

Ini menimbulkan persoalan terhadap penyokong bola sepak adakah Faisal akan dipanggil menjelang aksi persahabtan antarabangsa yang dijadualkan berlangsung awal bulan depan.

Ketika ini, Faisal tersisih dalam aksi kompetitif selepas pemain lincah Selangor FC itu digantung sebulan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM bermula 25 Julai hingga 23 Ogos ini.

Kim Pan-gon.

Menurut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, isu tentang sama ada Faisal dipanggil atau tidak terletak kepada Kim Pan-gon.

Terserah kepada Pan-gon sama ada mahu memanggil Faisal atau tidak untuk mewakili Harimau Malaya dalam aksi persahabatan Tier 1 di China.

Skuad Harimau Malaya kendalian Pan-gon akan menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Syria pada 6 September dan China pada 9 September depan.

Jika Faisal disisihkan buat sementara waktu oleh Pan-gon ia sekali gus membuka peluang buat pemain lain untuk menyertai Harimau Malaya.

Majoriti senaraikan tiga pemain berpeluang dipanggil Pan-gon bagi persiapan persediaan Piala Asia 2023 di Qatar tahun depan.

Baqiuddin Shamsudin

Baqiuddin (kanan) mula mendapat perhatian penyokong musim ini. MFL

1. Baqiuddin Shamsudin

Antara wira yang menyelamatkan maruah Sri Pahang FC sebelum dimalukan oleh Harini FT dalam perlawanan Piala Malaysia pada Jumaat.

Baqiuddin Shamsudin antara pemain yang dimasukkan pada masa akhir perlawanan dan menjaringkan gol cantik untuk memastikan kemenangan Tok Gajah di halaman lawan.

Pemain berusia 28 tahun itu beraksi di posisi sayap kanan dan mula menjadi tumpuan penyokong Liga Malaysia musim ini selepas aksi lincahnya di atas padang.

Boleh beraksi sebagai sayap kiri dan bek kanan Pan-gon seharusnya memberikan peluang buat Baqiuddin untuk menunjukkan kelebihannya bersama Harimau Malaya.

Musim ini bersama Sri Pahang, anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini berjaya menjaringkan dua gol serta empat assist dalam 18 perlawanan setakat ini.

Gabriel Nistelrooy

Nistelrooy mempunyai peluang yang cerah untuk bergelar pemenang kasut emas MFL musim ini. Facebook/JDT

2. Gabriel Nistelrooy

Nama pemain muda Johor Darul Takzim (JDT), Gabriel Nistelrooy Tamin semakin menjadi buah mulut penyokong bola sepak tempatan ketika ini terutamanya di Sarawak.

Pemain kelahiran Miri, Sarawak itu mencatatkan rekod baik selepas menjadi satu-satunya anak kaum Iban yang pertama menempah nama dalam kelab gergasi JDT II.

Selain beraksi cemerlang dalam saingan Piala MFL 2023, pemain berusia 23 tahun itu turut menjadi perhatian selepas mencatatkan 12 gol dalam Kumpulan A.

Nistelrooy mempunyai peluang yang cerah untuk bergelar pemenang kasut emas MFL kerana memiliki kelebihan apabila berada dalam kelab terbaik Asia dan mempunyai bimbingan jurulatih berpengalaman.

Jika skuad kebangsaan masih memikirkan siapakah bakal menjadi penyerang utama Harimau Malaya di masa akan datang, Inilah masanya untuk Pan-gon memberikan peluang kepada Nistelrooy membuktikan kualitinya berada di atas padang.

Hadin Azman

Hadin musim ini sudah menjaringkan tiga gol serta assist untuk Penang . Facebook/Penang FC

3. Hadin Azman

Prestasi Penang FC tidaklah begitu baik kerana hanya menduduki tangga ke-10 selepas 18 perlawanan dalam Liga Super.

Tetapi nama Hadin Azman tidak boleh dilupakan penyokong bola sepak apabila dia secara individu cemerlang bersama Harimau Kumbang.

Beraksi di posisi sayap kiri, Hadin musim ini berjaya menjaringkan tiga gol serta tiga assist dalam 14 perlawanan Liga Super.

Mempunyai larian dengan gelecekan bola yang baik, Hadin antara pemain yang sesuai untuk menggantikan Faisal Halim dalam skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa bulan depan.

Pemain berusia 29 tahun itu, sebenarnya pernah beraksi bersama skuad kebangsaan apabila melakukan tiga kaps dan satu jaringan gol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram