KIM PAN-GON memberi bayangan tidak akan meminggirkan Faisal Halim biarpun pemain sayap lincah Selangor itu digantung sebulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pengendali Harimau Malaya itu menegaskan, dia tidak bimbang prestasi Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey akan menurun kerana sebagai pemain profesional, dia tahu apa yang perlu dilakukan untuk mengekalkan tahap kecergasan dan kualiti atas padang.
Sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menyerahkan kepada Pan-gon untuk membuat keputusan sama ada mahu memanggil Faisal atau tidak dalam kem kebangsaan untuk aksi persahabatan Tier 1 bulan depan.
Datuk Dr Pekan Ramli.
Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berasakan satu kerugian jika Pan-gon mensisihkan Faisal dan beliau percaya prestasi pemain berusia 25 tahun itu tidak akan terjejas meskipun digantung selama sebulan tidak boleh beraksi secara kompetitif.
"Saya tak nampak itu boleh mengganggu atau merosakkan prestasi Faisal sebab dia boleh 'training' dia telah dibenarkan untuk 'training' sebab yang digantung untuk bermain itu dalam sebulan sahaja.
"Setakat sebulan tak bermain dalam Liga Super masih ada banyak masa lagi, saya rasa tiada masalah untuk Faisal dapat kembalikan prestasi dia.
"Secara peribadi saya rasa Pan-gon akan panggil Faisal, sebab kalau Pan-gon tidak panggil ia akan menjadi satu kerugian dan kalau tidak dipanggil ini menjadi satu masalah," katanya pada Majoriti.
Faisal digantung beraksi secara kompetitif selama satu bulan. — Facebook
Diminta untuk mengulas tentang Wan Kuzain yang semakin cemerlang di Amerika Syarikat, Pekan berpendapat wajar beri peluang jika dia boleh memberikan sumbangan bersama Harimau Malaya.
Kuzain baru-baru ini sekali lagi menjadi perhatian penyokong selepas dia menjaringkan empat gol dalam 10 perlawanan terakhir bersama St. Louis City 2.
"Bagi saya, suasana dan persekitaran itu tidak sama sebab dalam tempoh yang singkat kita perlukan dia untuk buktikan dalam pasukan itu sendiri walaupun dia bermain di Amerika Syarikat dia bagus tetapi dia juga perlu diuji sendiri oleh Pan-gon.
"Memang wajar dia diberi peluang, cuma sekarang ini kita tidak pasti sama ada dia dapat membuktikan kemampuan dia bersama skuad kebangsaan.
"Tetapi untuk memanggil kalau betul cemerlang memang wajar boleh diberi peluang bersama Harimau Malaya tapi ia bukan jaminan kalau dia perform di liga mana-mana pun.
"Panggil boleh tiada masalah, tapi bukan jaminan dia dipilih atau mudah mendapat tempat dalam skuad kebangsaan," jelasnya.
Harimau Malaya akan menghadapi dua aksi persahabatan bertemu Syria pada 6 September, diikuti China pada 9 September sebelum beraksi dalam Pestabola Merdeka bermula 13 hingga 17 Oktober.
Ketika ini, Faisal tersisih dalam aksi kompetitif selepas digantung sebulan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM bermula 25 Julai hingga 23 Ogos ini kerana melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (Kenyataan Akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan Kepada Media). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram