Bukan setakat kilang bintang muda, Kedah FA ada rekod berjaya hasilkan pengadil bertaraf Asia


  • Podium
  • Isnin, 07 Ogos 2023

Khairulsyahmi melakukan debut sebagai pengadil di peringkat antarabangsa ketika baru berusia 20 tahun.

KEDAH Darul Aman terkenal dengan pakar melahirkan pemain-pemain hebat dalam kancah liga bola sepak Malaysia apabila beberapa nama sudah membuktikan kualitinya dalam dan di luar negara.

Antara pemain yang masih lagi aktif bermain dalam Liga Malaysia musim ini ialah Khyril Muhymeen (Harini FT), Khairul Helmi Johari (TRW Kelantan FC), Rizal Ghazali, Farhan Roslan (Sabah FC), Akhyar Rashid (Johor Darul Takzim) dan ramai lagi.

Namun adakah anda tahu, 10 tahun lalu Kedah menerusi Persatuan Bola Sepak Kedah berjaya melahirkan seorang pengadil muda, Khairulsyami Ahmad Khalidi yang ketika itu berusia 20 tahun.

Khairulsyami dipilih oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk mengadili perlawanan antarabangsa pertamanya dalam kejohanan Piala Asia Bawah 14 tahun (B-14) di Myanmar.

Selain Khairulsyami, dua pengadil dari Malaysia Azwan Marimuthu (Kuala Lumpur) dan Hafizi Azmi (Sarawak) turut terpilih untuk mengadili perlawanan Piala Asia B14 itu.

Pengadil kelahiran Kedah itu mengadili perlawanan antara Singapura-Thailand serta beberapa negara lain seperti Laos, Bangladesh dan Kemboja yang berada dalam kumpulan F.

MALDIVES

Khairulsyahmi pernah ditugaskan untuk mengadili perlawanan Liga Maldives sehingga 2022. Facebook/FAM

Prestasi anak kelahiran Sungai Petani, Kedah dalam perlawanan Singapura-Thailand membuatkan panel pengadil di Myanmar kagum dan menyenarai pendek dia untuk mengadili pentas akhir kejohanan sama pada tahun berikutnya.

Pada 2021, Khairulsyami bersama dua pengadil lain terus mendapat kepercayaan daripada pihak luar apabila mereka menggalas tanggungjawab mengendalikan perlawanan utama Liga Maldives. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram