APA lagi yang perlu dibuktikan Wan Kuzain untuk mewakili skuad kebangsaan selepas dia sekali lagi menempa nama sebagai penjaring ketika membantu pasukannya, St Louis City 2 menang ke atas Real Monarchs dengan keputusan 4-0 dalam perlawanan MLS Next Pro pada Isnin.
Wan Kuzain bukan sahaja membantu pasukannya mengutip tiga mata penuh malah pemain berusia 25 tahun itu sudah menjaringkan empat gol dalam 10 perlawanan terakhirnya.
Pemain kelahiran Amerika Syarikat-Malaysia itu pada awalnya tidak tersenarai dalam kesebelasan utama pasukan seperti kebiasaan perlawanan terdahulu.
Ketua jurulatih St Louis City 2, Bobby Murphy kemudiannya membuat perubahan taktikal apabila memasukkan Kuzain pada babak separuh masa kedua perlawanan.
Perubahan taktikal yang direncana Bobby itu membawa perubahan selepas Kuzain bukan sahaja menjaringkan gol pada minit ke-88 perlawanan malah dia juga memberikan satu bantuan assist dalam perlawanan itu.
Dalam perlawanan itu, Kuzain menerima hantaran dari rakan sepasukan dan mudah merembat bola masuk ke dalam gawang gol lawan.
Lebih menarik, Kuzain meraikan jaringan golnya itu bersama salah seoran peminat yang hadir ke stadium bagi menyokong pasukan diwakilinya.
Sebelum ini, Kuzain menjaringkan gol ketika bertemu Huntsville City, Real Monarchs dan San Jose II.
Bekas pemain Sporting Kansas City itu juga merekodkan empat assist dalam MLS Next Pro setakat ini.
Kuzain sebelum ini, dikhabarkan bakal pulang ke Malaysia dan dikaitkan akan menyertai skuad Gergasi Merah namun perpindahan itu tidak berlaku selepas pemain tengah itu memilih untuk kekal di Amerika Syarikat.
Dalam pada itu, salah seorang bekas pemain Liga Malaysia kelahiran Sarawak, Malone Bian Andrew yang kini beraksi dalam Liga Brunei turut mengharumkan nama negara apabila menjaringkan gol untuk pasukannya, AKSE Bersatu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram