KEDAH Darul Aman (KDA) FC kembali bangkit melupakan kekalahan Piala Malaysia pada Ahad lalu apabila menggembirakan penyokongnya dengan memberikan tiga mata penuh dalam aksi Liga Super menentang Sri Pahang FC pada Selasa.
Dalam aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah, Sang Kenari yang dibimbing Nafuzi Zain menang 2-0 hasil tandukan dari Ifedayo Olusegun seawal minit keempat dan rembatan tonggak sayap baharu, J.Partiban pada minit ke-42.
Pada separuh masa pertama, anak-anak buah Nafuzi terus agresif dengan melakukan pelbagai percubaan bahaya ke arah pintu gol dan akhirnya usaha tersebut berhasil dengan tandukan dari Ifedayo menerusi situasi set piece.
Sebelum babak pertama berakhir, bola muntah dari penjaga gol, Pahang iaitu Izham Tarmizi disempurnakan oleh Partiban pada minit ke-42 perlawanan dan memberi keselesaan untuk dibawa ke bilik persalinan Kedah.
Separuh masa kedua perlawanan bermula dengan peluang banyak terhidang buat Tok Gajah namun gol yang dicari-cari gagal diterjemahkan oleh anak-anak buah Fandi Ahmad pada aksi di Darul Aman itu.

Ifedayo meraihkan jaringan golnya selepas membolosi gawang Pahang seawal minit keempat. — Facebook/KDAFC
Berbaki kira-kira 10 minit sebelum perlawanan berakhir, insiden berdarah yang melibatkan pelanggaran berlaku antara kapten Kedah, Manuel Ott dan Ifedayo sehingga memaksa import Filipina itu dihantar ke luar padang.
Kemenangan keempat berturut-turut Kedah bagi saingan Liga Super itu mengembalikan senyuman penyokong selepas mereka kalah 1-3 di tangan Perak dalam aksi pusingan pertama Piala Malaysia pada Ahad lalu.
Malah, bagi sebahagian penyokong bahagian tengah Kedah yang dibarisi oleh Manuel Hidalgo, Amirbek Juraboev, Manuel Ott dan Amirul Hisyam Awang Kechik layak mendapat pujian kerana membantu menambahkan variasi serangan Kedah.
"Kemasukan Amirbek ini menambahkan variasi serangan Kedah, Moses (Moses Atede) pun padu tapi lebih kepada defensive, jadi kalau nak gol awal boleh masuk Amirbek, nampak keserasian dia dengan Hidalgo," kata penyokong KDA FC, Mustaqim Jitra.
"Hidalgo, Ott dan Amir perancang utama Kedah malam ini..Man of the match Amirul Hisyam," kata seorang lagi penyokong, Momot.
"Suruh Nafuzi kekalkan line up ini saja next game.. tak payah nak eksperimen lagi dah. Touch up sikit-sikit lagi. Hidalgo okay dah Amirbek sokong dia dari tadi," tambah penyokong KDA, Saiful Azam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
