
UBI muda Kelantan FC, Allee Putra Azril mengakui ia bukanlah tugas mudah untuk menembusi kesebelasan utama pasukan selain perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan lebih minit permainan.
Ketika aksi Piala Malaysia antara skuad The Red Warriors (TRW) dengan Johor Darul Takzim (JDT) pada Jumaat, pemain itu diberikan peluang untuk beraksi buat 27 minit.
Ia merupakan penampilan pertama buat pemain berusia 18 tahun tersebut di pentas bola sepak negara selepas dua tahun menimba pengalaman bersama Akademi Malaga City di Sepanyol.
Menurutnya, dia tidak mahu melepaskan peluang terbaik untuk mencari lebih banyak peluang bersama kelab itu dan tetap berbangga dapat beraksi dengan pasukan negeri kelahirannya tersebut.
Misinya kini adalah untuk membuktikan kesungguhan dan kemampuan maksimum di sesi latihan untuk memperoleh minit permainan lebih lama dalam perlawanan akan datang.
“Alhamdulillah pertama sekali saya amat bersyukur dapat membuat debut bersama Kelantan FC walaupun hanya bermain selama 27 minit dan ia adalah satu pengalaman amat berharga dapat berdepan gergasi bola sepak tanah air (JDT).
Allee mahu bekerja lebih keras untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama. — Facebook/TRW Kelantan FC
“Kalau nak bandingkan dengan corak permainan di sana (Sepanyol) dan di sini memang tidak sama tetapi apa yang saya nampak kualiti bola sepak di tanah air ini semakin baik terutamanya daripada segi intensiti perlawanan.
“Mengenai kesebelasan utama, bergantung kepada barisan kejurulatihan tetapi apa yang mampu saya lakukan hanyalah memberikan 100 peratus jiwa raga kepada pasukan ini dan harapan saya untuk bangkit menjunjung kembali maruah Kelantan FC”, jelasnya kepada MFL.
Selepas ini, Kelantan FC akan melayan kunjungan Negeri Sembilan FC di laman sendiri pada Rabu dalam misi mengumpul lebih banyak mata untuk baki musim 2023.
Jelasnya, sekiranya diberi peluang, pemain kelahiran Bachok, Kelantan itu berharap mampu membantu pasukan daripada segi jaringan atau hantaran bola sebanyak mungkin untuk meraih keputusan yang positif.
"Kita tahu menentang Negeri Sembilan bukan mudah dan insya-ALLAH jika saya berada dalam kesebelasan utama, saya akan memberikan yang terbaik kepada pasukan.
“Tetapi apa-apa pun tidak kira di kesebelasan utama atau pemain gantian, saya berharap dapat membantu rakan sepasukan dalam misi untuk meraih semula kemenangan”, katanya.
Kelantan FC kini berada di tangga tercorot Liga Super dengan lima mata setakat ini selepas 18 perlawanan. — MFL
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram