SELEPAS kekalahan di tangan Perak FC dalam saingan Piala Malaysia dengan keputusan 1-3, Kedah Darul Aman (KDA) FC perlu lebih berhati-hati dengan menentang lawan berikutnya, lebih-lebih lagi pasukan bawahan Liga Super.
Ini kerana, sikap sambil lewa barisan pemain Kedah akhirnya memakan diri kerana dianggap memandang rendah terhadap pasukan Perak FC ketika saingan Piala Malaysia.
Menjelang perlawanan Liga Super ke-19 pada Khamis, skuad kendalian Nafuzi Zain perlu memperbaiki beberapa kelemahan dalam pasukan tersebut kerana bakal berdepan dengan Sri Pahang FC.
Berdepan dengan pasukan kedudukan lima terbaik Liga Super, pertembungan sengit antara Sri Pahang pastinya menjadi tumpuan penyokong bola sepak tanah air.
Oleh itu, sekiranya Kedah ingin mendapatkan tiga mata penuh di laman sendiri, terdapat beberapa faktor yang perlu diberi perhatian oleh pengendali skuad tersebut.

Sekitar sesi latihan barisan pemain Sang Kenari. — Facebook/Kedahfc
Berikut Majoriti menyenaraikan tiga kelemahan yang perlu diperbaiki oleh Sang Kenari jika enggan dimalukan oleh Tok Gajah.
1) Kukuh benteng pertahanan
Pastinya dalam sesebuah pasukan, benteng terakhir merupakan bahagian yang penting untuk mempertahankan skuad daripada dibolosi oleh pihak lawan.
Melihat kepada situasi skuad Sang Kenari sebelum ini, tentunya pengendali skuad itu perlu membariskan pemain pertahanan yang cukup kental untuk menjaga gawang daripada terus dibolosi.
Oleh itu, barisan pertahanan Sang Kenari perlu diperkukuhkan lagi untuk mematahkan serangan yang bakal dilakukan oleh Sri Pahang.
Untuk rekod, dalam saingan Liga Super, Sang Kenari sudah bolos dengan 21 jaringan dan pusingan ke-16 Piala Malaysia pula dibolosi tiga gol.
2) Serlahkan bakat Amirul Hisyam
Sang Kenari juga perlu mempertajamkan jentera serangan agar mampu meledak lebih banyak jaringan selain mengukuhkan benteng pertahanan.
Selain memberi kepercayaan kepada tonggak utama skuad tersebut, Nafuzi Zain perlu meletakkan kepercayaan kepada pemain tengah, Amirul Hisyam Awang Kechik yang kini dilihat jarang berada dalam skuad utama.
Kehadiran pemain sayap itu pastinya akan menggerakkan mengubah corak permainan Sang Kenari selain mempunyai kelebihan sebagai ball winning midfielder.
Bukan itu sahaja, kurang minit bermain pada musim ini merupakan faktor utama pemain 28 tahun itu dilihat sesuai mengisi barisan tengah kerana dijangka mampu untuk menampilkan persembahan terbaik.
3) Beri peluang Ifwat Akmal
Terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa penjaga gol Sang Kenari, Kalamullah Al-Hafiz semakin sukar mendapatkan rentak permainan selepas sering melakukan kesilapan yang memberi ruang kepada pihak lawan mencetak gol.
Kalamullah dilihat semakin mudah dibolosi dengan kesilapan ketika aksi Piala Malaysia buktinya skuad Sang Kenari ditewaskan oleh Perak FC pada Khamis.
Oleh itu, nama penjaga gol kedua Sang Kenari, Ifwat Akmal menjadi sebutan penyokong Hijau Kuning yang berharap agar diberikan kepercayaan oleh Nafuzi Zain untuk membantu pasukan tersebut.
Memiliki pengalaman selama tujuh tahun bersama Kedah, ia merupakan satu kelebihan untuk Ifwat menampilkan persembahan yang baik sekali gus mengembalikan keyakinannya sebagai penjaga gol terbaik.
Penjaga gol berusia 26 tahun itu pernah mendapat gelaran 'Man Of The Match' pada aksi final Piala FA 2019 kerana aksinya yang cemerlang ketika Sang Kenari menewaskan Perak 1-0. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
