
PERLAWANAN Liga Super pada Selasa sekali lagi menjadi tumpuan selepas berehat seketika selepas memberi ruang kepada pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang layak ke pusingan ke-16 Piala Malaysia musim 2023.
Minggu lepas, Terengganu FC membuka tirai kempen Piala Malaysia dengan kemenangan bergaya selepas membelasah wakil Liga M3, Kuala Lumpur Rovers 4-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.
Berada pada momentum terbaik ketika ini, Terengganu FC pastinya mahu mengekalkan rentak kemenangan apabila saingan Liga Super bersambung dalam aksi menentang Kelantan United FC yang akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Selasa.
Hatrik Ivan Mamut ditagih untuk membenam Kijang Hijau. — Facebook/terengganufc
Namun, Ketua Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner, seolah-olah buntu apabila belum dapat memutuskan gandingan terbaik di benteng akhir untuk perlawanan tersebut.
Ia dilihat sesuatu yang positif, rentetan aksi ampuh yang diperagakan gandingan pemain tempatan di posisi berkenaan dalam dua perlawanan terakhir skuad Sang Penyu.
"Kami akan meneliti dengan staf kejurulatihan selepas tamat sesi latihan sebelum mengambil keputusan barisan pemain yang bakal turun dalam aksi tersebut," kata Tomislav.
Selain itu, pemain pertahanan Sang Penyu, Safwan Mazlan turut tampil berkongsi mengenai perkara tersebut yang bersedia mengikuti perancangan pihak pengurusan pasukan.
"Saya sedia beraksi dalam mana-mana posisi yang ditetapkan oleh jurulatih, saya akan cuba memberikan yang terbaik," kata pemain pertahanan Terengganu, Safwan Mazlan, yang telah membuat 11 penampilan dalam saingan Liga Super 2023.
Bagaimanapun, penjaga gol Kelantan United, Shahril Saari tekad membantu pasukan meraih kemenangan ke atas Terengganu FC sekali gus menikmati kemanisan pertama untuk kemunculan semulanya dalam kancah Liga Malaysia.
Bekas penjaga gol Kedah Darul Aman itu menyertai Kelantan United ketika jendela kedua perpindahan pemain dan pertemuan menentang Sang Pneyu menjadi aksi keempatnya bersama kelab berkenaan.
"Selepas berehat hampir lapan bulan, saya sudah mula mendapatkan tahap keyakinan yang semakin bertambah baik. Saya akan cuba memberikan yang terbaik dalam perlawanan bertemu Terengganu.
"Tidak mustahil jika mengikut perancangan ditetapkan jurulatih kami mampu menghasilkan keputusan yang positif," kata Shahril. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram