MENJELANG aksi ke-19 Liga Super pada Selasa, pertembungan antara Kedah Darul Aman (KDA) FC menentang Sri Pahang FC pastinya satu perlawanan yang dinanti-nantikan oleh penyokong bola sepak tanah air.
Ini kerana, pertembungan tersebut dijangka sengit berikutan kedua-dua pasukan berkongsi mata yang sama dalam liga iaitu 37 poin selepas 18 perlawanan berlangsung.
Bagaimanapun, pasukan Tok Gajah akan tampil beraksi tanpa kehadiran dua pemain iaitu ketua pasukan, Fadhli Shas dan pemain naturalisasi, Sergio Aguero.
Menerusi satu temu bual bersama Astro Arena, Penolong Ketua Jurulatih Sri Pahang FC, Datuk Ahmad Yusof tampil mengulas mengenai ketiadaan dua pemain Tok Gajah yang tidak dapat beraksi dalam perlawanan tersebut.
"Tanpa Fadli Shas dan Sergio Aguero memang satu kekurangan tapi Insya-ALLAH, kita ada pengganti untuk kedua-dua pemain ini," katanya.

Sekitar aksi sesi latihan skuad Tok Gajah dalam menghadapi Sang Kenari. — Facebook/SriPahangFC
Memiliki mata yang sama dalam Liga Super pastinya memberikan lebih tekanan kepada kedua-dua pasukan kerana perlu mengekalkan kedudukan lima terbaik dalam carta.
Ditanya mengenai adakah beliau bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa kemenangan diraih akan menentukan hala tuju kedua-dua pasukan, Datuk Ahmad Yusof bersetuju dengan perkara tersebut.
"Saya setuju dengan pendapat tersebut tapi pertemuan ini bukan satu yang senang tapi tidak mustahil. Tapi kita sudah bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan," kongsinya.
Melihat kepada kekalahan Kedah di tangan Perak FC dengan keputusan 1-3 dalam saingan pusingan ke-16 Piala Malaysia sebelum ini, skuad Tok Gajah enggan berada dalam keadaan selesa.
"Kita mesti berhati-hati dan waspada kepada Kedah, pastinya kekalahan Kedah di tangan Perak merupakan satu kejutan bukan sahaja kepada pemain atau pihak pengurusan malah penyokong Hijau Kuning turut terkejut.
"Kita mesti berhati-hati, jangan ingat senang dan mudah," ujarnya.
Kedah akan melayan kunjungan Sri Pahang dalam saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Selasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
