Pan-gon terus tunggu Faisal Halim, 3 pemain bakal 'menangis' tak dapat peluang bersama HM


  • Podium
  • Rabu, 09 Ogos 2023

Kehadiran Faisal boleh dianggap sebagai salah satu kunci penting buat skuad kendalian Kim Pan-gon. — Bernama

MESKIPUN penggantungan awal pemain sayap negara, Faisal Halim akan berakhir pada 23 Ogos, terdapat kekhuatiran yang diluahkan mengenai penyertaannya dalam skuad kebangsaan.

Ketika ini, penyerang bertubuh kecil tersebut tidak dapat diturunkan akibat kenyataan media yang dibuat April lalu dengan sebahagian mengatakan ia diajukan kepada pihak pengurusan bola sepak negara.

Walaupun terdapat usaha untuk penggantungan itu ditarik semula, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memilih untuk bertegas akan pendirian mereka itu.

Bagaimanapun, baru-baru ini, terdapat satu progres positif yang dikongsikan Jawatankuasa Tatatertib apabila persatuan itu memberi kelonggaran terhadap pemain berusia 25 tahun tersebut.

Selepas satu sesi mesyuarat diadakan, Faisal diberikan peluang untuk kembali menyertai sesi latihan yang diadakan Selangor FC sepanjang tempoh penggantungan.

1875956

Kepulangan Faisal terus dinanti-nantikan penyokong bola sepak negara. Facebook/FAM

Keputusan tersebut diberikan supaya tahap kecergasan penyerang terbabit tidak terjejas sekembalinya dia daripada denda yang dikenakan terhadapnya.

Perkhabaran itu pastinya sedikit sebanyak melegakan pihak kejurulatihan yang mendambakan khidmatnya, termasuk pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon.

Berdasarkan kalendar FIFA, pasukan negara akan berdepan cabaran getir menentang China dan Syria dalam aksi persahabatan yang diadakan pada 6 dan 9 September.

Kehadiran Faisal pastinya akan memberikan satu kelebihan buat jentera serangan Harimau Malaya dengan kelincahannya setiap kali beraksi mempunyai kunci untuk pasukan tersebut.

Walaupun perkhabaran terbabit memberikan satu kelegaan bagi penyokong bola sepak, masih terdapat beberapa pihak yang semestinya terkesan dengan kepulangannya.

Ini termasuk sebilangan pemain yang pada awalnya berasakan mereka berpeluang untuk bersama skuad kebangsaan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Faisal.

Melihat kepada situasi itu, Majoriti melihat terdapat tiga orang pemain yang terpaksa menelan realiti bahawa kehadiran penyerang berusia 25 tahun tersebut akan menutup peluang mereka buat aksi persahabatan akan datang.

1. Engku Nur Shakir (Terengganu FC)

Pada dasarnya, Pan-gon tidak perlu terlalu khuatir dengan kehilangan Faisal memandangkan pemain Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid atau Akhyar Rashid boleh diletakkan di posisi tersebut.

Bagaimanapun, untuk mencari seorang pelapis sekiranya krisis kecederaan melanda, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu perlu mendapatkan pemain yang mampu beraksi di mana-mana posisi menyerang.

Melihat kepada profil-profil pemain dalam Liga Super musim ini, ubi muda Terengganu FC, Engku Nur Shakir Engku Yacob boleh dikatakan sebagai antara calon-calon utama.

2164668

Engku (kiri) terus diberikan kepercayaan bersama skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Prestasi tidak menentu Nik Sharif Haseefy dan Liridon Krasniqi serta kecederaan yang dialami Syafik Ismail memaksa ketua jurulatih Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner meletakkan Engku di pelbagai posisi.

Walaupun sukar untuk menyesuaikan diri pada awalnya, pemain berusia 24 tahun itu terus menjadi antara bintang bersinar buat pasukan bergelut itu.

Tiga gol serta empat bantuan jaringan yang direkodkan dalam semua kejohanan membuktikan bahawa Engku mempunyai potensi untuk menjadi seorang pemain masa hadapan untuk skuad kebangsaan.

Meskipun statistik itu tidaklah begitu membanggakan, ia masih boleh dianggap sebagai satu pulangan yang baik memandangkan dia lebih kerap diletakkan di bangku simpanan pada awal musim selain usianya yang masih hijau.

Sekiranya pemain terbabit mampu meneruskan rentak memuaskannya sehingga penutup tirai Liga Super 2023, terdapat peluang besar bahawa Pan-gon akan meletakkannya dalam senarai bersedia.

2. Fayadh Zulkifli Amin (Kedah Darul Aman FC)

Setelah bertahun-tahun mencipta nama sebagai pemain sayap muda bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC, Fayadh Zulkifli Amin akhirnya berpeluang menyarung jersi kebangsaan awal tahun lalu.

Peluang itu diambil dengan baik meskipun dia hanya diturunkan sebagai pemain simpanan ketika aksi berdepan Turkmenistan dan Hong Kong.

Bagi peminat bola sepak negara, pencapaian itu dijangka menjadi satu titik permulaan buat pemain berusia 24 tahun tersebut untuk terus berkembang.

Namun, setakat separuh musim ini, Fayadh masih belum memberikan impak buat skuad Sang Kenari apabila dia masih belum menjaringkan atau mencipta sebarang gol di peringkat kelab.

fayi_1679222267

Fayadh terus tenggelam dalam bayang-bayangnya sendiri musim ini. Facebook/FAM

Meskipun statistik itu hanya akan merumitkan peluangnya bersama skuad negara, kelincahannya pasti akan diberikan perhatian Pan-gon untuk dua aksi persahabatan itu.

Tetapi, sekiranya Faisal dipanggil Pan-gon, Fayadh pastinya akan lebih kecewa dengan peluangnya semakin terhad untuk kembali ke skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, sekiranya Pan-gon mahu melakukan 'eksperiman' terhadap pasukan kendaliannya, kemasukan Fayadh dengan kelincahannya mampu memberi dimensi baharu terhadap jentera serangan Harimau Malaya.

3. Sergio Aguero (Sri Pahang FC)

Seperti dibincangkan mengenai kemasukan Engku, Pan-gon pastinya akan terbuka untuk membawa masuk seorang pemain versetail untuk aksi persahabatan itu.

Meskipun ia bukanlah satu pencarian yang mudah, kapten Sri Pahang FC, Sergio Aguero boleh dijadikan antara calon terbaik untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

Selepas diberikan status naturalisasi pada September tahun lalu, pemain itu sudah diberikan peluang untuk beraksi dalam skuad kebangsaan untuk beberapa kali.

Ia termasuk ketika kempen Piala AFF yang lalu dengan perancang tengah itu mencuri perhatian selepas menjaringkan dua gol dalam enam penampilan.

1876411

Aguero terus menantikan penampilan ketujuhnya bersama Harimau Malaya. Facebook/FAM

Bagaimanapun, pencapaian itu gagal menambat hati pihak kejurulatihan apabila pemain berusia 29 tahun berkenaan tidak lagi diberikan peluang dalam pasukan negara.

Tetapi, hal itu tidak memberi kesan terhadap mentaliti Aguero memandangkan dia terus cemerlang buat skuad Tok Gajah musim ini dengan dua gol dan dua bantuan jaringan Liga Super.

Statistik berkenaan sedikit sebanyak memberi harapan buatnya untuk sekali lagi menyumbang buat pasukan negara yang sedang giat mencari skuad terbaik untuk aksi Piala Asia yang akan datang.

Namun, kepulangan Faisal hanya akan merumitkan harapan terbabit, lebih-lebih lagi dengan kecederaan terus membelenggu penyerang berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram