KETUA Jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe mengakui sukar untuk mencari pengganti bagi pemain sayap, Faisal Halim walaupun berjaya meraih kemenangan 4-1 ke atas PDRM FC dalam perlawanan pusingan ke-16 Piala Malaysia pada Khamis.
Selain memiliki sosok tubuh yang kecil, Faisal atau gemar dengan gelaran Mickey juga terkenal dengan kelincahan di atas padang telah digantung selama sebulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana komen yang dibuatnya selepas perlawanan Liga Super menentang Sabah FC pada 27 April.
Dengan ketiadaannya di sayap kiri, Cheng Hoe menggunakan Mukhairi Ajmal Mahadi pada separuh masa pertama sebelum mencuba Aliff Izwan Yuslan pada babak kedua ketika aksi berdepan The Cops.
Kedua-duanya dilihat sukar untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Faisal Halim berikutan tampil cemerlang di posisi itu namun Cheng Hoe tidak gusar dengan situasi tersebut.
“Tidak mudah bagi mana-mana pemain untuk menyesuaikan diri dengan kedudukan Faisal yang tampil cemerlang. Dua pemain yang saya cuba dan saya tidak menjangka mereka akan menjadi pengganti yang berkebolehan dalam sekelip mata," katanya.
Dalam perlawanan menentang The Cops di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Gergasi Merah menjaringkan gol menerusi penyerang Colombia, Ayron Del Valle pada minit ke-57 dan m-64, pemain tengah Harith Haiqal Adam Afkar (m-74) dan gol kemenangan Yohandry Orozco (m-91).
Bagaimanapun, PDRM hanya mampu berpuas hati dengan jaringan sagu hati menerusi Hadi Fayyadh Abdul Razak pada minit ke-25.
The Cops melakukan tindakan mengejutkan dengan menamatkan kontrak ketua jurulatih Azzmi Aziz dengan persetujuan bersama beberapa jam sebelum perlawanan pembukaan Piala Malaysia menentang Selangor. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram