AKIBAT daripada siasatan mengenai kes rogol dan serangan seksual terhadap teman wanita yang dikenakan pada 2022, pemain muda Manchester United, Mason Greenwood tidak lagi diberikan peluang untuk beraksi bersama pasukan itu.
Penggantungan yang dihadapi sejak 18 bulan lalu menyaksikan penyerang berusia 21 tahun tersebut tidak dibenarkan untuk menyertai sesi latihan kelab.
Bagaimanapun, ketika ini, terdapat laporan bahawa kes yang dikenakan terhadapnya akan digugurkan berikutan foto yang menampilkan Greenwood sudah berbaik dengan pasangannya.
Lebih menarik lagi, khabar angin yang mengatakan pemain itu sudah semakin hampir untuk kembali aktif dalam dunia bola sepak semakin hangat selepas satu klip memaparkannya kembali berada di padang latihan.
Kelibat Greenwood kelihatan dalam sesi latihan persendirian.
Berdasarkan video berdurasi kira-kira seminit itu, Greenwood dilihat sedang aktif di padang terbuka sambil ditemani individu yang difahamkan sebagai rakannya.
Sebelum ini, pengurus skuad The Red Devils, Erik ten Hag enggan memberikan komen mengenai masa depan pemain terbabit apabila dia hanya mahu meletakkan tanggungjawab tersebut terhadap pihak pengurusan.
Kepulangan penyerang berkenaan dijangka memberikan satu kelebihan buat jentera Manchester United dengan mereka hanya membawa seorang pemain baharu di posisi itu, Rasmus Hojlund.
Greenwood sebelum ini pernah digelar sebagai salah seorang permata baharu dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum isu di luar padang 'melenyapkan' kariernya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
