SEJAK beberapa minggu lalu, pemain antarabangsa Denmark, Rasmus Hojlund banyak dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United ketika Erik ten Hag meneruskan pencariannya untuk posisi penyerang baharu.
Terbaharu, menjelang musim 23/24, terdapat laporan mengatakan bahawa pemain berusia 20 tahun itu semakin hampir untuk berpindah ke Old Trafford.
Menjelang perpindahan tersebut, sebuah video mencuit hati timbul apabila Hojlund sendiri mengesahkan cara menyebut namanya dengan betul.
Dalam rakaman itu, Hojlund yang sepertinya berada di sebuah majlis keramaian berpendapat pasti tiada sesiapa boleh menyebut nama keluarganya dengan betul.
“Saya tidak fikir sesiapa di sini boleh menyebut nama keluarga saya dengan betul. Ada sesiapa nak cuba,” katanya menerusi klip tersebut.
Pemain dari Liga Itali, Serie A, Atalanta itu kemudiannya mengajar orang ramai cara menyebut namanya dengan betul.
Menurut Sky Sports, Hojlund sudah menyelesaikan proses pemeriksaan kesihatan sebelum berpindah ke Old Trafford yang dilaporkan akan menelan belanja £72 juta (RM418.1 juta).
Atalanta akan menerima bayaran permulaan £64 juta (RM371.6 juta) dan ditambah £8 juta (RM 46.5 juta) dalam perkara berkaitan prestasi.
Penyerang itu dipercayai akan menandatangani perjanjian lima tahun dengan kelab itu dan akan diumumkan semasa perlawanan persahabatan United menentang pasukan Ligue 1, Perancis RC Lens pada Sabtu.
Sementara itu, pemain tengah United dan rakan sepasukan antarabangsa Hojlund, Christian Eriksen memberi respons mengenai ketibaannya selepas perlawanan persahabatan menentang Borussia Dortmund.
“Dia seorang nombor sembilan yang kuat. Dia banyak berkembang pada tahun lepas sejak pertama kali saya melihatnya bersama pasukan kebangsaan hingga tahun ini. Dia pemain yang sangat bagus.
“Saya rasa kita tidak mendapat perhatian media yang mencukupi di Denmark sebab itu orang luar tidak begitu tahu.
“Dia seorang yang baik, seorang pemain yang bagus. Seperti yang saya katakan, dia berkembang, berubah menjadi penyerang nombor sembilan yang dia pernah bermain untuk pasukan kebangsaan.
“Saya harus jujur, saya tidak pernah melihat banyak perlawanan untuk Atalanta, tetapi saya tahu bagaimana mereka bermain dan dia menyesuaikan diri dengan baik di sana,” ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
