'Ikut baka Haaland', FAM didesak jangan terlepas pandang kredibiliti bek berdarah campuran


  • Podium
  • Selasa, 08 Ogos 2023

Saiz badan tegap Johan Nyo (kiri) disamakan dengan peledak berbisa Manchester City, Haaland. — Instagram/Johan

MELIHAT kepada landskap bola sepak tanah air hari ini, skuad kebangsaan dihiasi dengan wajah-wajah pemain warisan ataupun kacukan yang mana kualiti mereka boleh dikatakan jauh lebih baik dari segelintir tonggak tempatan.

Oleh itu, tidak hairanlah jika hampir setiap tahun ada sahaja bakat berdarah campuran yang kini berkelana di luar negara menarik perhatian penyokong bola sepak domestik dan berharap mereka akan mewakili Malaysia suatu hari nanti.

Terbaharu, seorang lagi ubi muda berdarah Malaysia-Norway menjadi perhatian penyokong tanah air terutamanya selepas melihat fizikalnya yang mempunyai ketinggian luar biasa iaitu 1.83 meter walaupun baru berusia 14 tahun.

Pemain tersebut ialah Kim Johan Nyo Tagnander iaitu prospek muda yang difahamkan kini sedang beraksi bersama salah sebuah akademi di tanah air sebelum dia berhijrah ke Norway untuk mencari peluang di negara Eropah itu.

Berdasarkan hantaran dari Instagram frfuturetalents, Johan Nyo dilahirkan di Kuala Lumpur dan dibesarkan di Pulau Pinang namun pada Disember ini, prospek tersebut dilaporkan bakal mengikuti ayahnya untuk tinggal di Norway.

Johan Nyo yang beraksi di posisi tengah menyerang dan juga mampu bermain sebagai bek tengah itu dikatakan mempunyai ketinggian dan fizikal lebih besar berbanding rakan sebayanya.

WhatsApp Image 2023-08-08 at 14.35.28 (3)

Johan Nyo memiliki pertalian darah melalui ibunya. — Instagram/Johan

Bukan itu sahaja, kelebihan yang ada pada diri ubi muda itu membuatkan Johan Nyo mampu bermain dengan pemain senior dan orang lebih berusia daripadanya, sekali gus mengambil pengalaman lebih banyak daripada mereka.

Menjengah ruangan komen di hantaran tersebut, ramai pemain ke-12 tanah air mengaitkan ubi Johan Nyo dengan peledak berbisa Manchester City, Erling Haaland kerana bentuk fizikalnya yang mirip pemain antarabangsa Norway itu.

"Baru 14 dah tinggi begitu, duduk Malaysia pula itu. Lepas ini duduk Norway pula main akademi sana lagilah memang ikut baka Haaland," kata penyokong, Uv.hqim.

"Jangan main-main dengan dia ini. Saya main dengan dia dalam perlawanan persahabatan. Budak ini memang ada potensi main secara profesional di Eropah," komen seorang lagi penyokong, Lucascheng13_.

Rentetan daripada pendedahan mengenai Johan Nyo itu, ramai penyokong berharap agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) cepat bertindak melamar pemain muda itu.

Setakat ini, Malaysia sudah menggunakan khidmat pemain warisan di bahagian pertahanan seperti Matthew Davies, Daniel Ting, La'Vere Corbin Ong, dan Junior Eldstal; selain tonggak warisan di bahagian tengah seperti Nooa Laine, Stuart Wilkin dan Natxo Insa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram