PENYERANG legenda England, Gary Lineker tidak yakin bahawa rekrut baharu Manchester United, Rasmus Hojlund mampu membuktikan kebolehannya secara menyeluruh dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pemain antarabangsa Denmark itu baru-baru ini melengkapkan perpindahannya untuk menyertai gergasi Eropah itu dengan yuran perpindahan mencecah RM420 juta (£72 juta).
Hojlund yang mencipta nama bersama kelab Itali, Atalanta menjadi buruan skuad The Red Devils sejak jendela perpindahan musim panas 2022 dengan pasukan itu bergelut untuk mendapatkan seorang penyerang prolifik.
Meskipun pemain terbabit tidak mempunyai rekod cemerlang dalam kariernya, penghijrahan itu didesak pengurus Manchester United, Erik ten Hag yang amat sinonim dengan ubi muda.
Bagimanapun, keputusan berkenaan tidak dipersetujui pelbagai pihak, termasuk Lineker yang melihat juara EPL sebanyak 13 kali itu melakukan pelaburan berisiko.

Lineker percaya Manchester United meletakkan Hojlund sebagai pelaburan jangka masa panjang. — Agensi
"Manchester United mengeluarkan kos cukup tinggi untuk pemain berusia 20 tahun dan saya sendiri kurang melihatnya di atas padang.
"Terdapat kemungkinan bahawa mereka menganggapnya sebagai satu bentuk pelaburan jangka masa panjang. Tetapi, saya tidak yakin dia mampu mencipta perubahan," katanya.
Setakat ini, skuad The Red Devils sudah diperkuatkan dengan kehadiran tiga bintang baharu termasuk Hojlund dengan penjaga gol antarabangsa Cameroon, Andre Onana dan pemain tengah, Mason Mount.
Tumpuan bagaimanapun semestinya diajukan kepada penyerang tersebut memandangkan kos perpindahannya itu meletakkanya sebagai pemain keenam termahal pernah disambar Manchester United.
Musim lalu, Hojlund menjaringkan 16 gol untuk Atalanta secara keseluruhan dengan sembilan daripadanya hadir ketika saingan Serie A.
Selain itu, sumbangannya di peringkat antarabangsa juga tidaklah mengecewakan memandangkan dia memperolehi enam gol dalam enam penampilan, termasuk hatrik ketika berdepan Finland. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
