HATRIK Ivan Mamut memastikan Terengganu FC selangkah ke suku akhir Piala Malaysia apabila membelasah wakil Liga M3, Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) 4-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.
Kemenangan tersebut meletakkan Terengganu sebelah kaki ke peringkat suku akhir dan anak-anak buah Tomislav Steinbruckner juga dijangka tidak berdepan masalah untuk melayan KL Rovers dalam aksi timbal balik pada 18 Ogos nanti.
Beraksi di laman sendiri, KL Rovers gagal mempertahankan benteng pertahanan selepas penyerang import skuad Sang Penyu, Ivan Mamut membuka tirai jaringan yang seterusnya melengkapkan hatrik selain gol tambahan daripada Engku Nur Shakir untuk meraih kemenangan besar di tempat lawan.
Kelebihan jaringan tersebut dianggap akan membantu Terengganu untuk turun beraksi di halaman sendiri bagi aksi timbal balik pada 18 Ogos depan.

Ivan Mamut menjaringkan hatrik dalam aksi Piala Malaysia. — Facebook/Terengganufc
Bagaimanapun, menerusi satu temu bual bersama Flash Sukan, penyerang kelahiran Croatia berkongsikan mengenai kemenangan yang berjaya diraih ketika menentang KL Rovers.
"Ia adalah perlawanan yang mudah sebab kami menjaringkan gol dengan cepat dan perkara itu amat penting untuk kelab.
"Saya gembira dengan persembahan saya dan juga pasukan selepas tiga perlawanan sebelum ini berakhir dengan keputusan seri. Kemenangan ini sangat penting buat Terengganu dan kami perlu kekalkannya seperti ini," katanya.
Tambahnya lagi, dia berpuas hati dapat menjaringkan hatrik yang membantu pasukan Terengganu berada dalam keadaan yang selesa sebelum aksi timbal balik nanti.
"Sebagai penyerang sudah tentu saya sentiasa mahu jaringkan gol dalam setiap perlawanan dan kali ini saya dapat jaringkan hatrik. Tetapi sebagai satu pasukan, mungkin dalam perlawanan lain pemain lain akan jaringkan gol kerana ini adalah bola sepak," kongsinya.
Pemain berketinggian 1.92 meter itu juga mengatakan bahawa amat gembira berada di Terengganu dan sokongan daripada penyokong serta penduduk tempatan disifatkan sebagai luar biasa.
"Saya gembira di Terengganu sejak hari pertama. Penduduk di sana sangat menakjubkan dan sering memberikan sokongan meskipun ada kalanya kami beraksi tidak begitu baik," jelasnya.
Bukan itu sahaja, Ivan juga mengakui bahawa persefahaman yang baik dengan rakan-rakan sepasukannya terjalin dan akan terus berusaha bagi memastikan Terengganu berjaya meraih lebih banyak kemenangan.
"Perfect. Pastinya tiada masalah yang berlaku antara saya dan pemain lain, semuanya perfect.
"Anda boleh nilai sendiri keserasian kami (Sony Norde) dalam perlawanan sebelum ini.
"Kami tidak mempunyai masalah walaupun dalam bilik persalinan, apabila seseorang memberikan pendapat, semua orang akan mendengar, kamu boleh lihat kerjasama di atas padang," ujarnya.
Terengganu akan berkunjung ke Kelantan United bagi aksi Liga Super pada 8 Ogos untuk memperbaiki kedudukan dalam saingan liga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
