Lama diperam, tiba-tiba Sumareh banyak buat 'over time'


  • Podium
  • Isnin, 07 Ogos 2023

Sebahagian aksi antara skuad Harimau Selatan menentang Kelantan dalam saingan Piala Malaysia. — Facebook/MFL

JOHOR Darul Takzim (JDT) tidak berdepan masalah untuk memulakan misi mempertahankan gelaran Piala Malaysia dengan kemenangan selepas membenam Kelantan FC 5-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Jumaat.

Dalam perlawanan tersebut, Bergson da Silva membuka tirai jaringan apabila mencetak gol seawal minit ketujuh permainan.

Kerapuhan benteng pertahanan tuan rumah terus dirobek apabila import baharu JDT, Heberty Fernandes menambah dua jaringan iaitu pada minit ke-15 dan ke-24.

Berada sebagai pendahulu perlawanan dengan kelebihan 3-0, anak-anak buah Esteban Solari dilihat masih mahu mencari jaringan apabila Shahrul Saad menambah jaringan keempat pada babak kedua dan berakhir dengan gol kemenangan oleh Nazmi Faiz pada minit ke-67.

WhatsApp Image 2023-08-07 at 17.09.23

Sumareh tampil beraksi dua perlawanan membantu JDT dan JDT II. Instagram/palatao_bola

Pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh dilihat menunjukkan aksi persembahan yang baik walaupun beraksi selama 24 minit bersama Harimau Selatan.

Selepas selesai tugas beraksi bersama skuad Harimau Selatan dalam saingan Piala Malaysia, turut kelihatan kelibat Sumareh yang juga membantu pasukan JDT Bawah-23 Tahun (B-23) menewaskan Sri Pahang B dalam saingan Liga Juara Piala MFL.

Kelibat pemain naturalisasi Harimau Malaya dalam skuad JDT II itu seolah-olah memberi bayangan bahawa Sumareh memiliki tahap kecergasan yang memberangsangkan.

Ini kerana, Sumareh dilihat mempunyai kecergasan yang baik selepas bermain dua perlawanan dalam masa tiga hari sahaja.

Bukan sahaja turun membantu malah Sumareh juga mencetak jaringan memberi tiga mata berharga untuk pasukan JDT II.

Mengikut statistik Tranfermarkt, Sumareh diturunkan sebanyak tiga kali ketika menentang Kelantan FC, PDRM FC dan Terengganu FC dan hanya memanaskan bangku simpanan dalam saingan Liga Super 2023.

Selain itu, dalam saingan Piala FA, Sumareh diberi kepercayaan untuk beraksi menentang PDRM FC dan Penang FC walaupun hanya sebagai pemain gantian.

Bukan itu sahaja, Sumareh turut membantu skuad Harimau Selatan dalam pusingan ke-16 Piala Malaysia yang juga beraksi sebagai pemain simpanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram